Wahid Satay Dibayar Untuk Tukar Nama

Diterbitkan: Khamis, 23 November 2017 6:15 AM

Pada usia 87 tahun, Wahid Satay masih lagi sihat dan mempunyai ingatan yang kuat.

(Ubah saiz teks)

SINGAPURA: Tatkala salam diberi, dari luar pintu rumah sudah kelihatan kelibat lelaki ini dalam keadaan cukup riang menantikan kehadiran tetamu. 

Selepas anaknya menjemput masuk ke rumah mereka, sebuah pangsapuri di Eunos Crescent Singapura, lantas seniman ini terus melabuhkan punggung di atas sofa lalu membuka bicara. 

Tanpa sempat bertanyakan soalan, dia terlebih dahulu menceritakan ‘biodata’ dirinya di hadapan kami. 

Mungkin dalam fikiran seniman veteran Wahid Satay ini, jarak usia antara dia dengan kami memungkinkan untuknya berbuat demikian. 

Yalah kami hanyalah anak-anak yang belum dilahirkan saat dia sudah berada dalam kemasyuran sebagai seorang bintang. 

Kedatangan kami, wakil dari Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) yang turut ditemani rakan artis iaitu Azza (Elite), bagaikan satu terapi untuk pelakon berusia 87 tahun ini.

Memegang salah satu trofi yang dimenanginya.

Jujurnya… jelas kelihatan dia amat gembira untuk berkongsi cerita kisah silamnya. 

Penuh bersemangat lelaki yang kami panggil Pak Wahid ini membuka bicara dengan berkongsi pengalamannya bekerja sebagai kelasi kapal yang membolehkan dia mengelilingi dunia sebelum diangkat sebagai bintang filem. 

“Saya bekerja dari umur 16 tahun dan boleh pusing satu dunia. Masa kerja kapal, saya selalu disuruh menyelam mungkin sebab itu telinga kiri saya sudah tidak boleh dengar lagi,” kata Wahid. 

Menurut laporan sebelum ini, antara kerja dilakukan Pak Wahid sebagai kelasi ialah membuka tali pukat yang terbelit pada kipas kapal ketika belayar.

Berkongsi langkahnya dalam dunia perfileman, Pak Wahid pada asalnya bersama seorang teman melawat Studio Cathay Keris bertempat di Singapura. 

Kerjaya lakonannya bermula ketika bekerja di studio itu sebagai tukang cat sebelum ditawarkan menjadi pelakon tambahan dalam filem Pertaruhan sekitar tahun 1940-an. 

Kehebatan Pak Wahid yang boleh meniru suara haiwan seperti ayam, burung merupakan satu kelebihan apabila suaranya sering kali digunakan sebagai latar belakang bagi filem-filem tertentu.

Wahid Satay (dua dari kiri) dalam satu majlis festival filem.

“Semasa menjadi kelasi kapal, saya banyak merantau. Kebolehan saya meniru suara binatang pula saya dapat semasa menjelajah di Afrika,” katanya. 

Di sebalik kerjanya sebagai tukang cat, sifat humor yang ada pada diri Pak Wahid menyebabakan pengarah L. Krishnan mula mengesan kelebihan itu sebelum dia ditawarkan berlakon filem. 

Untuk percubaan kata Pak Wahid, dia diberi wang pendahuluan sebanyak RM400 sehingggalah pihak syarikat Cathay Keris percaya dengan bakatnya lalu mengambil dia menjadi residen artis dengan pendapatan bulanan sebanyak RM600. 

Pontianak dan Satay 

Bagaimana pemilik nama Abdul Wahid Ahmad ini boleh dipanggil Wahid Satay? 

Bercerita kisah ‘satay’, ia bermula semasa filem Pontianak lakonannya bersama Maria Menado yang ditayangkan pada 1957 mendapat kutipan pecah panggung. 

Dalam filem itu Pak Wahid yang bekerja sebagai penjual sate diganggu puntianak.

Wahid bersama pelakon Indonesia, Rema Melati.

Kerana lakonan mantap itu, nama komersialnya sebagai A Wahid menjadi masyur sehinggalah majikannya Loke Wan Tho meminta nama dia ditukar kepada Wahid Satay. 

“Mulanya saya bertanya, kenapa nak tukar nama kepada ‘satay’ pula? Ayah saya bukannya nama satay. Sehinggalah taukeh saya tu berikan saya RM2,000 barulah saya bersetuju gelaran saya dari A. Wahid menjadi Wahid Satay. 

“Kata taukeh saya, kerana watak saya dalam filem Pontianak itu menyebabkan nama asal saya perlu ditukar kepada nama berkenaan,” terangnya yang diberi jolokan Jerry Lewis Malaya. 

Lebih luar biasa, Pontianak berjaya mengalahkan filem Hollywood iaitu Samson and Delilah yang ditayangkan serentak seluruh Malaya ketika itu.

Kata Pak Wahid, gara-gara filem itu, pelbagai cerita pelik mula timbul termasuklah tersebarnya kisah menakutkan apabila orang ramai sering ternampak kelibat puntianak di Singapura. 

Malah, ada juga seorang wanita pernah melahirkan anak dalam panggung wayang dan dalam teksi selepas menonton filem itu.

Antara adegan dalam filem Pontianak 

Antara pengalaman menarik lain kata Pak Wahid, ketika filem Pontianak hendak ditayangkan di sebuah panggung, dia telah membakar kemenyan membuatkan orang ramai yang sudah membeli tiket untuk menontonnya cabut lari. 

Dalam pada itu kehadiran kami pada petang Ahad lalu itu bertambah menarik apabila Pak Wahid tidak segan menjawab soalan apabila ditanya adakah pada zaman mudanya dia pernah digoda gadis-gadis cantik, lantas beliau mengakui hal itu.

Katanya ketika ke Bintulu, Sarawak, ada sorang gadis yang menawarkan diri untuk berkahwin dengannya namun dia dapat mengelak daripada didekati wanita itu. 

Pak Wahid juga turut menyanyikan lagu Satay kepada kami bagi mengimbaskan semula lagu berkenaan dalam filem Pontianak. 

Pada usianya sekarang Pak Wahid masih mempunyai tahap ingatan yang kuat dan sihat tubuh badan.

Wahid Satay (duduk dua dari kanan) menerima kunjungan rakan-rakan media di rumahnya, di Singapura. Turut kelihatan penyanyi Azza (duduk kiri) serta anak kedua Wahid iaitu Hafizah (berdiri dua dari kiri).

Antara petuanya dia memperbanyakan amalan zikir selain tidak membebankan diri dengan masalah. 

Pak Wahid ketika ini tinggal bersama anak keduanya daripada enam beradik iaitu Hafizah. 

Beliau mempunyai 16 orang cucu. 

Tapi… jauh di sudut hatinya seniman ini masih meriundui dunia seni yang sudah lama ditinggalkan. 

Dia juga seperti kesunyian apabila satu demi satu teman-teman seangkatan pergi buat selama-lamanya. 

Sebelum kami berangkat pergi, dia banyak kali menitipkan pesanan, jika ada  ruang, jemputlah dia datang ke apa-apa majlis di Kuala Lumpur. 

TRIVIA

- Abdul Wahid Ahmad atau Wahid Satay

- Berpindah dari Indonesia ke Singapura pada 1935

- Bekerja sebagai kelasi kapal pada usia 16 tahun

- Melawat ke studio Cathay Keris bersama kawan sebelum diberi pekerjaan sebagai tukang cat

- Banyak membuat lawak ketika bekerja menyebabkan pengarah L. Krishnan memberi peluangnya berlakon

- Boleh melukis dengan baik sejak di bangku sekolah

- Mampu meniru suara ayam, burung dan macam-macam lagi

- Suaranya sering digunakan sebagai suara haiwan dalam filem-filem tertentu

- Dibayar RM2,000 untuk menukar namanya kepada Wahid Satay

- Tekejut selepas selesai penggambaran apabila diberitahu sungai yang dijadikan lokasi filem Badang lakonannya mempunyai buaya

- Muntah yang diminum dalam filem Badang ialah kuah dalca yang digunakan mencicah roti oleh kru selepas selesai penggambaran adegan itu

- Mempunyai enam anak dan 13 orang cucu

- Rakan baiknya ialah seniman S. Shamsuddin

- Memegang watak penting dalam beberapa filem antaranya, Pontianak (1957), Sumpah Pontianak (1958), Che Mamat Parang Tumpul (1960), Badang (1962), Naga Tasik Chini (1966), Dendang Perantau (1979) dan Tuan Besar (1980).

Tags / Kata Kunci: Wahid Satey

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan