Izzue Dimarahi Lelaki Tua - Berita Hiburan | mStar

Izzue Dimarahi Lelaki Tua

Diterbitkan: Sabtu, 11 November 2017 6:30 AM

Izzue Islam akui pengikut berkurangkan bila bawa watak jahat.

(Ubah saiz teks)

PELAKON Izzue Islam berkata dia pernah dimarahi oleh seorang lelaki tua yang terlalu obses dengan sebuah drama lakonannya iaitu Patahnya Sebelah Sayap.

Izzue, 27, yang membawakan watak antagonis dalam drama berkenaan berkata, dia terkejut apabila tiba-tiba dihampiri lelaki berkenaan ketika menghadiri sebuah majlis hiburan.

"Saya terkejut apabila seorang pakcik datang dan memarahi saya kerana jadi jahat seperti dalam drama itu. Dia nasihatkan saya supaya tidak buat seperti itu di kehidupan sebenar.

"Pada mulanya agak bimbang kerana pengurus saya tidak berada bersama ketika itu, tapi kejadian itu sekejap sahaja dan dia berlalu pergi," ujarnya kepada mStar Online.

Izzue ditemui pada majlis menandatangani kontrak filem Pailang JB yang diadakan di Comedy Planet, malam Khamis lalu.

Pailang JB merupakan filem pertama dia membawakan watak gengster atau budak nakal.

Izzue Islam

Sementara itu, Izzue mengakui ramai peminat yang tidak gemar dia melakonkan watak bersisi gelap.

"Seperti drama Patahnya Sebelah Sayap saya lihat ramai juga yang marah-marah di Twitter dan ramai yang 'unfollow ' di Intagram.

"Saya sedar pengikut berkurangan kerana mungkin terkesan dengan perkara itu, maklumlah selalu saya bawa cerita yang baik-baik," ujarnya.

Izzue berkata, lakonan antagonis keduanya menerusi telefilem Jongkong bakal ditayangkan pada malam Ahad di Astro Ceria.

Sementara itu, bercerita tentang filem Pailang JB, Izzue berkata, dia menerima tawaran tersebut disebabkan banyak melakonkan watak aksi dan perlumbaan.

Katanya, dia juga perlu memasuki beberapa kelas untuk latihan mempertahankan diri sebelum memulakan penggambaran.

"Dalam filem ini saya membawakan watak budak kolej yang suka berlumba dan banyak babak pertarungan dan lumba kereta.

"Ini kali pertama saya ditawarkan watak seperti ini dan sudah tentu cabaran utama adalah perlu belajar seni mempertahankan diri," ujarnya.

Filem terbitan Simpang 3 Production itu akan diarahkan oleh Ryzal Yusoff dan akan memulakan penggambaran pada Disember depan.

Tags / Kata Kunci: Izzue Islam
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan