DC3 2017 Tawar Hadiah Hampir RM100,000 - Berita Hiburan | mStar

DC3 2017 Tawar Hadiah Hampir RM100,000

Diterbitkan: Khamis, 26 Oktober 2017 12:01 AM

Dari kiri; Pengarah DC3, Azhar Ahmad, Presiden MMU, Prof. Datuk Dr. Ahmad Rafi Mohamed Eshaq dan Pengerusi CCIG Malaysia Datuk Jurey Latif Rosli di sidang media anugerah DC3 2017.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang mempunyai kemahiran kreatif berupaya untuk memenangi hadiah wang tunai berjumlah hampir RM100,000 menerusi pertandingan Penciptaan Kandungan Kreatif Digital 2017 (DC3 2017) yang dianjurkan bermula Jun lalu.

Menurut Pengerusi, Gabungan Industri Kandungan Kreatif (CCIG) Malaysia, Datuk Jurey Latiff Rosli, pertandingan yang akan berakhir pada 31 Oktober ini menawarkan hadiah lumayan dan boleh disertai seluruh rakyat Malaysia.

"Banyak pertandingan di luar sana tidak menawarkan hadiah besar seperti ini, jadi saya menyeru agar lebih ramai penyertaan diterima sebelum tarikh ditutup kelak.

"Menerusi pertandingan ini, semua penyertaan mestilah berkisar mengenai pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

"Sebenarnya masyarakat kurang faham mengenai TN50. Jadi, kita mahu menterjemahkan apa itu TN50 menerusi kandungan kreatif agar lebih mudah difahami," ujarnya kepada mStar Online.

Artis dan mereka yang menyokong Anugerah DC3 2017.

Dia ditemui sewaktu sidang media Anugerah DC3 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pada Rabu.

Katanya, kategori yang dipertandingkan termasuklah fotografi, manipulasi imej digital, rekaan media baharu/aplikasi multimedia dan video digital.

Menerusi empat kategori itu, terdapat pula pecahan peserta seperti kategori terbuka, pelajar pengajian tinggi dan pelajar sekolah.

Pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan akan diraikan menerusi Anugerah DC3 yang akan diadakan pada 25 November depan.

Selain CGIG, pertandingan ini turut dianjurkan oleh Multimedia University (MMU) dan mendapat sokongan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Sesiapa yang berminat untuk menyertai pertandingan itu masih lagi boleh menghantar penyertaan mereka melalui portal 'DC3 Competition 2017'.

Setakat ini, penganjur telah menerima 840 penyertaan dan mereka menyasarkan untuk melepasi angka seribu menjelang tarikh akhir penghujung bulan ini.

Tags / Kata Kunci: Anugerah DC3
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan