Air Mata Elizabeth Tan Menitis Kerana Dia

Diterbitkan: Rabu, 9 Ogos 2017 5:34 AM

Lizzy mendedahkan mengalami kemurungan yang teruk kerana pelbagai masalah. Foto ZAHID IZZANI

(Ubah saiz teks)

CUACA mendung pada petang Selasa bertambah sayu apabila Elizabeth Tan mengalirkan air mata di saat dia diajukan soalan berhubung perpisahannya dengan seorang pemuda Melayu sekitar April lalu.

Kata penyanyi lagu Tabah ini, perpisahan itu sebenarnya pencetus kepada banyak masalah lain yang disimpan dalam hatinya sejak tiga tahun lalu sehingga dia berada dalam kemurungan.

Elizabeth atau Lizzy berkata, sepanjang tempoh itu dia sebenarnya 'berperang' dengan dirinya sendiri terhadap pelbagai perkara termasuk isu agama, peribadi, kerjaya dan keluarga.

"Saya biasanya tidak suka menunjukkan emosi seperti ini tetapi (sekarang) saya sedar tidak salah untuk berkongsi rasa sedih atau kecewa.

"Banyak yang saya lalui dan cuba faham dalam tempoh tiga tahun ini sehingga akhirnya ia memakan diri sendiri dan menyebabkan kemurungan.

Lizzy mengakui kemurungan dihadapinya benar-benar memberi kesan kepadanya.

"Berpisah dengan bekas teman lelaki mungkin sebahagian penyebab tetapi bukan secara keseluruhan kerana sudah terlalu lama saya pendam pelbagai perkara dalam hati," katanya kepada mStar Online.

Lizzy ditemui di pejabat Warner Music Malaysia, Petaling Jaya ketika melancarkan single terbaharunya yang berjudul Darling pada Selasa.

Elizabeth Tan Akhirnya Putus Cinta

Dalam pada itu, Lizzy berkata, sepanjang tempoh mengalami kemurungan dia mengakui pernah terlintas di fikirannya untuk mengambil nyawanya sendiri kerana berasa terlalu tertekan.

Bagaimanapun, dia bersyukur cepat tersedar dan mula mendapatkan bantuan daripada keluarga dan sahabat terdekatnya untuk kembali berdiri dan meneruskan kehidupan.

"Saya pernah duduk selama enam jam untuk mengenang semua kesilapan dan kelemahan diri yang saya tulis dalam buku dan keadaan kemurungan saya sangat teruk sehingga pernah terlintas untuk mengambil nyawa sendiri.

Penyanyi lagu Tabah ini kembali bersemangat meneruskan kehidupan.

"Bagaimanapun ketika itu saya tersedar untuk mendapatkan bantuan dan bersyukur kerana keluarga dan rakan-rakan banyak memberi semangat untuk saya berhadapan dengan masalah dan terus memajukan diri.

"Mujur saya bukanlah seorang yang mudah membuat keputusan kerana emosi dan mula bersikap positif terhadap kehidupan dan memandang ke hadapan," katanya.

Malah Lizzy berkata, dia terharu apabila ibunya banyak memberi dorongan malah sanggup mengambil cuti selama dua minggu untuk menjaganya ketika dia berada dalam keadaan teruk.

"Hubungan kami pernah renggang kerana terlalu ikutkan hati tetapi dia tetap menerima saya dengan hati terbuka sehingga sanggup menjaga saya dan dia seorang wanita yang hebat," katanya.

Sementara itu, Lizzy berkata, dia terbuka mengenai isu kemurungan dihidapinya kerana merasakan ia perkara serius dan bukannya sesuatu yang boleh dipandang ringan.

Lizzy tampil dengan single terbaharu iaitu Darling.

"Ramai yang mengalami masalah sama tetapi tidak semua berani tampil kehadapan dan mengakuinya dan saya juga begitu sebelum ini.

"Tetapi saya sedar, saya perlu berkongsi mengenainya kerana ia sebenarnya telah menyelamatkan saya daripada terus melakukan perkara bodoh.

"Tiada apa yang saya ingin kesalkan daripada semua kejadian yang menimpa saya sebaliknya bersyukur kerana ia mematangkan saya sebagai seorang manusia," ujarnya.

Bercakap mengenai Darling, Lizzy berkata, dia menulis Darling hanya dalam tempoh sejam ketika menaiki Uber untuk bertemu dengan penerbitnya.

Tidak menafikan lagu itu ada berkaitan dengan kisah peribadinya, Lizzy bagaimanapun berkata Darling dihasilkan mengikut jalan cerita drama lakonannya My Darling Inspektor Daniel.

Tags / Kata Kunci: Elizabeth Tan , Darling

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan