Saleem Pula Masuk Hospital

Diterbitkan: Rabu, 5 Julai 2017 7:49 PM

Saleem dikunjungi sahabat selepas dimasukkan ke hospital sejak malam Selasa. Foto Facebook HUZALI ALI

(Ubah saiz teks)

SELEPAS dunia hiburan dikejutkan dengan berita penyanyi Mus daripada kumpulan May yang kini berada dalam keadaan koma, seorang lagi penyanyi legenda iaitu Saleem dilaporkan kini berada di hospital.

Isterinya, Juriah Bachok atau lebih mesra disapa Julia ketika dihubungi mStar Online memberitahu Saleem dimasukkan ke sebuah hospital di ibu negara malam Selasa akibat demam panas.

Saleem sepatutnya menjalani pembedahan pada Khamis.

Jelas Julia, penyanyi kumpulan Iklim itu mengalami demam hampir sebulan lalu namun keadaannya semakin teruk sejak dua hari lalu sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

"Sebenarnya dia sudah mengalami demam sejak sebulan tetapi sekejap baik dan kemudian demam kembali.

"Dia gagahkan diri sebenarnya namun semalam (Selasa) keadaannya semakin teruk dan suhu badannya meningkat sehingga 40 darjah celcius dan saya terus bawanya ke hospital," katanya.

Dalam pada itu, Julia berkata, Saleem sepatutnya melakukan pembedahan bagi membuang ketumbuhan di bahagian testis pada Khamis namun ia terpaksa ditangguhkan kerana demam dialaminya.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada keadaan Saleem itu berpunca daripada ketumbuhan itu dan pihak doktor telah pun melakukan beberapa ujian bagi mengetahui keadaan sebenar.

"Setakat ini doktor masih belum tahu punca sebenar kenapa dia demam panas yang berlarutan atau sama ada ia ada kaitan dengan ketumbuhan di alaminya.

"Harap peminat-peminat dapat mendoakan kesihatan suami saya agar kembali pulih seperti sedia kala," katanya.

Tags / Kata Kunci: Saleem , Iklim

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan