Cassidy Anderson Dipanggil Kasidah!

Diterbitkan: Jumaat, 2 Jun 2017 5:00 AM

Cassidy mengambil langkah besar dengan berhijrah ke Malaysia untuk memperkukuhkan karier muziknya di negara ini. Foto Instagram @cassidylacreme

(Ubah saiz teks)

KEBOLEHAN bintang YouTube warga Australia iaitu Cassidy Anderson menyanyikan lagu-lagu dalam bahasa Malaysia dengan baik berjaya mencuri perhatian peminat di negara ini.

Bermula dengan lagu Ombak Rindu nyanyian asal Hafiz dan Adira, Cassidy nampaknya tidak lagi menoleh kebelakang dan meneruskan minatnya terhadap muzik Melayu.

"Muzik di Barat seperti sudah hilang magisnya dan tiada lagi lagu-lagu seperti dinyanyikan oleh Whitney Houston dan Celine Dion.

"Tetapi apabila saya mendengar muzik Melayu ia menangkap jiwa walaupun tidak memahaminya dan sejak itu saya tidak menoleh ke belakang lagi," katanya kepada mStar Online.

Berambut perang, gincu merah serta imej daripada zaman 30-an membuatkan penyanyi berusia 29 tahun itu sentiasa menjadi perhatian.

Lucunya kata Cassidy, sejak mula dikenali peminat di Malaysia ramai mula memanggilnya dengan nama Kasidah kerana ada di antara mereka tidak tahu menyebut namanya.

Cassidy tampil dengan single pertama iaitu Seperti Dia.

"Pada awalnya pelik juga tetapi sebenarnya nama Melayu saya itu sedap dan saya memang tak kisah kalau ada orang panggil saya Kasidah," katanya.

Bercakap lanjut mengenai karier seninya di Malaysia, Cassidy berkata, dia mula berpindah ke Malaysia secara tetap sejak Januari lalu selepas mendapat nasihat daripada Amy Search.

Kata Cassidy, kata-kata semangat diberikan Amy membuatkan dia nekad meninggalkan Australia demi mengejar cita-citanya dalam bidang nyanyian.

"Pertama kali saya bertemu dengan Amy ketika mengadakan persembahan di sebuah acara dan ketika itu saya menyampaikan lagunya iaitu Tiada Lagi.

"Dia terkejut mendengar saya menyanyikan lagunya dan pada pertemuan dalam satu majlis lain Amy menyatakan rasa kagumnya terhadap saya dan meminta saya bergiat aktif sebagai penyanyi di Malaysia.

"Banyak juga kata-kata nasihat diberikan Amy yang penuh dengan inspirasi sehingga membuatkan saya bulatkan hati demi mengejar cita-cita.

"Berat hendak meninggalkan kampung halaman namun restu daripada keluarga saya berpindah dan bersyukur semuanya berjalan dengan baik setakat ini," katanya yang mula mempelajari bahasa Malaysia sejak tahun 2012.

Sementara itu, Cassidy berkata, dia teruja dapat melancarkan single pertamanya yang berjudul Seperti Dia ciptaan Ezra Kong dan Hael Husaini.

Katanya, lagu itu adalah bukti dia serius terhadap karier nyanyiannya di negara ini dan berharap ia dapat diterima baik oleh peminat.

"Apabila saya ambil keputusan berpindah ke Malaysia saya mahu buat sehabis baik dan berharap karier saya berpanjangan di negara ini.

"Syukur peluang merakamkan lagu daripada komposer terkenal seperti Ezra dan Hael membuatkan saya cukup bertuah," katanya.

Tags / Kata Kunci: Cassidy Anderson , Seperti Dia

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan