"Saya Bukan Dah Tak Laku" - Zaquan Adha

Diterbitkan: Khamis, 18 Mei 2017 7:00 AM

Zaquan Adha dipilih jadi duta kempen Terima Kasih Ramadan 2017.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemain bola sepak Perak, Mohd Zaquan Adha Abd. Radzak memberitahu keputusannya terlibat dalam industri hiburan bukan kerana bakal meninggalkan dunia sukan.

Dia yang menerima tawaran sebagai duta kempen Terima Kasih Ramadan anjuran TV3 itu berkata, penglibatannya sekadar memberi sokongan dalam melakukan kerja-kerja amal yang dianjurkan stesen televisyen itu.

Bagaimanapun, Zaquan berkata, dia sedar, penglibatannya itu secara tidak langsung akan menyebabkan dirinya terdedah dengan pelbagai gosip liar seperti yang dilalui selebriti tempatan.

"Terlalu ramai yang bertanya di laman sosial adakah saya sudah jadi pelakon? Ada juga yang bertanya adakah saya sudah tidak laku sebagai pemain bola sepak sehingga ingin menceburi bidang lakonan?

"Di sini saya ingin jelaskan bahawa ia tidak benar dan kerjaya saya sebagai pemain bola sepak masih baik. Saya terima tawaran ini pun bukan memerlukan untuk saya berlakon. Jika sekadar berlakon iklan sahaja saya okey," ujarnya kepada mStar Online.

Zaquan dan isterinya Ayu Raudhah

Zaquan sebelum ini pernah bermain dengan pasukan Johor Darul Takzim (JDT).

Dia ditemui pada majlis pelancaran duta kepada kempen Terima Kasih Ramadan, anjuran TV3, di Mandarin Oriental, di sini, Rabu.

Selain Zaquan, selebrti lain yang turut menjadi duta kempen itu ialah Elfira Loy, Ayda Jebat, Mira Filzah dan Redza Rosli.

Sementara itu, Zaquan mengakui banyak belajar cara berlakon daripada isteri, aktres Ayu Raudhah terutamanya setiap kali menjalani penggambaran iklan.

"Ayu banyak mengajar saya untuk beri ekspresi muka ketika berlakon iklan. Walaupun tiada dialog tapi Ayu kata saya nampak garang.

"Setiap kali ada penggambaran iklan atau sesi fotografi saya akan bawa Ayu sekali kerana dia yang akan bantu saya," ujarnya.

Dalam pada itu, sejak menerima tawaran iklan, Zaquan mengakui banyak menolak tawaran berlakon drama dan filem.

Malah, dia pernah ditawarkan memegang watak utama dalam sebuah drama ratusan episod.

"Kalau berlakon iklan sikit-sikit sahaja saya boleh tapi kalau untuk berlakon drama atau filem saya tidak pandai. Lagi pun saya terlalu pemalu.

"Tawaran drama datang memang banyak, baru-baru ini ada juga yang tawarkan jadi hero sebuah drama panjang. Saya tidak boleh terima kerana komitmen yang tinggi dengan kerjaya saya," ujarnya.

Tags / Kata Kunci: Zaquan Adha , Ayu Raudhah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan