'Bazaar Paknil' Konsep Hiburan Dalam Perniagaan

Diterbitkan: Isnin, 10 April 2017 3:51 PM

Aznil melebarkan minatnya dalam bidang pernigaan apabila kini memiliki ruang jualan dengan jenama Bazaar Paknil di Kompleks PKNS Shah Alam. -foto RAJA FAISAL HISHAN / The Star

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Konsep hiburan dalam perniagaan menjadi taruhan pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi bagi menarik minat orang ramai mengunjungi tapak jualan kendaliannya bawah jenama Bazaar Paknil.

Menurut Aznil, 55, idea mewujudkan sebuah lokasi beli belah secara fizikal ini timbul selepas sambutan menggalakkan daripada penjual dan pembeli secara dalam talian di Instagram dengan hashtag #bazaarpaknil.

"Sehingga kini terdapat hampir 15 juta posting yang menggunakan hashtag itu.

"Melihatkan kepercayaan peniaga dalam talian menggunakan hashtag itu di media soail, saya terpanggil untuk membuka ruang perniagaan bagi para peniaga meraih keuntungan berniaga secara fizikal bawah jenama Bazaar Paknil," katanya kepada mStar Online.

Zain Saidin turut mempunyai ruang jualan tetap di Bazaar Paknil.

Dia ditemui pada majlis pelancaran Bazaar Paknil di Tempat Orang Lokal (TOL), Kompleks PKNS Shah Alam pada Isnin.

Bazaar Paknil yang mula beroperasi sejak 15 Mac lalu menempatkan 35 vendor yang menawarkan pelbagai barangan dan perkhidmatan.

Menurut Aznil, penyertaan golongan selebriti yang mempunyai produk jualan dengan label sendiri dijangka membantu menaikkan imej Bazaar Paknil hingga menjadi salah satu pilihan destinasi untuk beli belah.

Antara selebriti yang mempunyai tapak jualan tetap di Bazaar Paknil ialah Neelofa menerusi Naelofar Hijab, Zain Saidin (Zapatos), koleksi pakaian sedia dipakai oleh pereka fesyen terkenal Hatta Dolmat dan Aznil sendiri dengan produk penjagaan wajah, Anell By Aznil Nawawi.

Tambah Aznil sebagai permulaan, Bazaar Paknil turut menganjurkan pertandingan karaoke santai dikenali 'Lalak Land' yang menawarkan hadiah mingguan sebanyak RM1,000 dan tambahan RM3,000 bagi juara keseluruhan di peringkat akhir.

Antara barangan yang dijual di Bazaar Paknil.

Pertandingan karaoke yang berlangsung setiap petang Ahad itu turut disertai ramai selebriti terkenal seperti Didie Alias, Ronnie Hussein, Khai Bahar, Elly Mazlein serta Zarul Husin.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif, PKNS Real Estate Sdn Bhd, Fakru Radzi Ghani berkata, ruang perniagaan yang berkonsepkan hip and trendy itu ditawarkan secara kontrak selama tiga bulan kepada setiap vendor yang berminat.

"Ini bermakna lebih ramai usahawan dapat berada bawah jenama Bazaar Paknil dan pelbagai jenis perniagaan dapat ditawarkan," katanya.

Tags / Kata Kunci: Aznil Nawawi , Bazaar Paknil

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan