Haqiem Rusli Sunting Gambar Peminat Elak Dosa

Diterbitkan: Ahad, 9 April 2017 6:40 AM

Haqiem Rusli sunting gambar bersama peminat yang menampakkan aurat kerana enggan menanggung dosa.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Penyanyi Haqiem Rusli menjelaskan tindakannya menyunting gambar bersama peminat di laman sosial miliknya kerana ingin mengelak daripada mendapat dosa.

Haqiem, 19, berkata, dia juga ingin memastikan bahagian aurat individu dalam gambarnya tidak terdedah sekaligus ia dapat menutup aib selain bimbang ia menimbulkan fitnah.

"Memang setiap kali saya muat naik gambar bersama peminat atau pun rakan-rakan saya akan sunting terlebih dahulu foto itu sekiranya ada aurat mereka terdedah.

"Contohnya, jika sesuatu gambar memperlihatkan ada bahagian aurat terdedah dan ia mendapat 10,000 'like' di Instagram, saya akan menanggung dosa kerana saya muat naik gambar itu untuk tontonan umum.

Haqiem menyunting terlebih dahulu gambar sebelum memuat naik di Instagram.

"Jadi sebab itu saya pastikan menapis dahulu gambar-gambar kerana tidak mahu mengaibkan orang lain dan menimbulkan fitnah dan dosa," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Haqiem berkata, dia juga sentiasa menjaga batasan apabila didekati peminat wanita termasuk tidak bersentuhan dan bersalam dengan mereka.

Kata penyanyi lagu Segalanya itu berkata, dia bersyukur kerana peminat memahami apa yang dilakukan itu adalah untuk kebaikkan bersama namun itu tidak menghalang daripada dia mendekati peminatnya.

"Tanpa sokongan peminat saya mungkin tidak akan sampai ke tahap sekarang dan Alhamdulillah karier seni saya semakin berada di tahap baik sekarang.

Lagu Segalanya menaikkan nama Haqiem.

"Saya juga sering didekati peminat yang ingin bergambar tetapi mereka faham saya tidak akan bersalam dan kami juga menjaga batas agar tiada salah faham berlaku.

Dalam perkembangan lain, Haqiem akan terlibat menerusi Jelajah Safi Balqis dan Artis Sony Music bagi menghiburkan peminat di beberapa lokasi terpilih.

Selain Haqiem, jelajah itu turut melibatkan artis seperti Aliff Aziz, Altimet, Ifa Raziah, Ary Hadre, Farisha Irish, Shamim dan Wani.

Lokasi yang terpilih adalah Mydin Pulau Sebang Melaka (16 April), Universiti Utara Malaysia, Kedah (19 April), Kompleks Bukit Jambul, Pulau Pinang (23 April), Universiti Putra Malaysia, Serdang (29 April) dan Mydin Senawang, Seremban (7 Mei).

Tags / Kata Kunci: Haqiem Rusli , Segalanya

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan