Ifa Raziah Belajar Bahasa Indonesia Untuk Single Terbaharu

Diterbitkan: Jumaat, 7 April 2017 6:30 AM

Ifa Raziah bakal tampil dengan single terbaharu untuk pasaran Indonesia. Foto ROHAIZAT DARUS

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Penyanyi Ifa Raziah giat mempelajari bahasa Indonesia sebagai persiapan untuk melancarkan single terbaharunya di negara itu.

Bagaimanapun kata Ifa, dia tidak mengambil sebarang kelas khusus sebaliknya sekadar mempelajari bahasa itu dengan menonton sinetron atau pun menerusi perbualan dengan rakan dari Indonesia.

"Jika saya ke Jakarta, rata-rata suka mendengar saya bercakap dalam bahasa Malaysia tetapi bagi memenuhi syarat agar mudah diterima pendengar saya perlu fasih berbahasa Indonesia.

"Nasib baik kita serumpun jadi tidak banyak beza cuma kena belajar lenggok dan pemilihan kata yang berbeza daripada kita.

"Saya tidak ada ambil kelas khusus pun cuma belajar dengan menonton sinetron di televisyen dan berbual dengan rakan-rakan," katanya kepada mStar Online.

Ifa belajar bahasa Indonesia sebagai persediaan untuk melebarkan karier di Indonesia.

Dalam pada itu, Ifa berkata, dia bakal berangkat ke Jakarta pada Mei ini untuk merakamkan lagu terbaharunya yang akan dipasarkan di negara jiran itu.

Kata Ifa, dia akan merakamkan lagu daripada komposer yang pernah mengubah lagu untuk Cita Citata dan memberitahu teruja dengan perancangan diatur syarikat rakamannya, Sony Music Malaysia.

"Insya-Allah saya akan merakamkan single terbaharu untuk pasaran Indonesia pada Mei nanti di Jakarta dan saya teruja kerana ini adalah peluang untuk saya mengembangkan lagi karier di negara itu.

"Kemunculan saya sebagai pengulas dalam program D'Academy Asia 2 pada akhir tahun lalu sedikit sebanyak memberi impak dan ramai mula bertanya bila saya hendak melancarkan lagu di Indonesia.

Barisan artis yang akan terlibat dalam Jelajah Safi Balqis dan Artis Sony Music Malaysia.

"Kesempatan bertemu dengan beberapa bintang dangdut di Indonesia juga memperlihatkan mereka mengalu-alukan kedatangan artis Malaysia bagi memeriahkan muzik dangdut," jelasnya.

Ifa juga memberitahu, dia akan terlibat dalam sebuah konsert dangdut yang akan diadakan di Singapura pada penghujung tahun ini yang turut menampilkan Dewi Persik dan Rosalina.

Dalam perkembangan lain, Ifa akan terlibat menerusi Jelajah Safi Balqis dan artis Sony Music bagi menghiburkan peminat di beberapa lokasi terpilih.

Selain Ifa, jelajah itu turut melibatkan artis seperti Aliff Aziz, Altimet, Haqiem Rusli, Ary Hadre, Farisha Irish, Shamim dan Wani.

Lokasi yang dipilih ialah Mydin Pulau Sebang Melaka (16 April), Universiti Utara Malaysia, Kedah (19 April), Kompleks Bukit Jambul, Pulau Pinang (23 April), Universiti Putra Malaysia, Serdang (29 April) dan Mydin Senawang, Seremban (7 Mei).

Tags / Kata Kunci: Ifa Raziah , Sony Music Malaysia

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan