Sherry Alhadad Masih Gugup Jadi Pengacara

Diterbitkan: Jumaat, 31 Mac 2017 6:20 AM

Sherry Alhadad mengakui masih dibelenggu perasaan gugup setiap kali memulakan tugas pengacaraan. Foto SADIQ SANI

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pelakon dan aktivis teater yang semakin popular dalam pengacaraan, Sherry Al Hadad masih dibelenggu perasaan gugup setiap kali memulakan tugas pengacaraan.

Sherry, 33, berkata, walaupun hampir tiga tahun menimba ilmu dan pengalaman sebagai hos pelbagai majlis dan program televisyen (TV), perasaan gementar itu sukar dikikis kerana bimbang untuk melaksanakan sesuatu pengacaraan dengan sempurna.

"Memang dah bermacam-macam tugas pengacaraan sama ada program TV mahupun majlis sudah saya buat sejak tiga tahun ini tapi saya akui masih rasa gugup setiap kali saya hendak memulakan tugas (mengacara).

"Gugup itu sentiasa ada dalam diri tapi bagaimana cara untuk tukar gugup kepada tenaga pengacaraan adalah cabaran saya setiap kali hendak mengacara," katanya.

Bagaimanapun, Sherry atau Shariffah Mariam Syed Abdullah Al Hadad berkata, dia bersyukur kerana pengalaman dalam bidang teater selama ini amat membantu untuk mengawal lontaran suara, pergerakan suara dan kawalan diri ketika mengacarakan program TV atau majlis.

Alif dan Sherry bergandingan sebagai hos program Rockanova.

"Latar belakang dan pengalaman dalam teater memainkan peranan penting dalam mendidik saya mengenai pantang larang dan perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan sebagai pengacara program atau majlis.

"Paling penting yang saya pelajari adalah fokus dan komitmen adalah perkara terpenting yang jadi pegangan dari awal pembabitan dalam pengacaraan," katanya.

Ujarnya lagi, susulan penerimaan yang baik daripada pelbagai pihak, dia tidak pernah mengambil mudah setiap tanggungjawab pengacaraan yang diberikan kepadanya.

Malah, Sherry berkata, dia amat menekankan kualiti dan komitmen yang tinggi bagi setiap kepercayaan yang diberikan.

"Saya selalu sematkan dan fikir peluang yang ada ini adalah pekerjaan dan tanggungjawab yang tak boleh dibuat main-main.

"Bidang ini adalah sumber pendapatan saya. Jadi tiada istilah ambil mudah atau sambil lewa dalam setiapbpengacaraan atau lakonan saya," katanya.

Terbaharu, Sherry bergandingan dengan penyanyi, pelakon dan hos Alif Satar mengendalikan program realiti Rockanova.

Rancangan yang memaparkan persaingan 10 peserta dalam genre rock itu disiarkan selama lapan minggu secara langsung bermula Rabu pukul 9 malam di Pusat Konvensyen CIDB, di sini.

Tags / Kata Kunci: Sherry Alhadad , Alif Satar , Rockanova

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan