"Dia Nak Pakai Tuksedo Pada Ulang Tahun Perkahwinan Kami" - Nora

Diterbitkan: Jumaat, 24 Mac 2017 1:51 PM

Nora kelihatan sugul ketika menunggu jenazah suaminya disembahyangkan di Masjid Ar Rahman.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Hasrat penyanyi Nora Ariffin untuk menyambut ulang tahun perkahwinannya yang ke 25 tidak kesampaian apabila suaminya komposer Johan Nawawi meninggal dunia akibat serangan jantung.

Nora, 44, berkata, Allahyarham merancang untuk mengadakan majlis istimewa tersebut sempena ulang tahun berkenaan pada 9 April depan dengan mengayakan pakaian tuksedo.

"Dia ada merancang untuk mengadakan persembahan pada majlis ulang tahun perkahwinan kami April depan.

"Dia kata nak pakai tuksedo pada hari itu dan saya pakai baju Azura. Ia seperti meraikan kembali perkahwinan kami. Namun perancangan Allah itu kita tidak tahu," ujarnya kepada mStar Online.


Nora mengucup wajah arwah suaminya buat kali terakhir.

Nora atau nama sebenarnya, Wan Norafizah Ariffin ditemui di Masjid Ar Rahman, di sini, Jumaat.

Johan Nawawi, 52, menghembuskan nafas terakhir di sebuah pusat perubatan di Subang Jaya kira-kira pukul 6.30 pagi Jumaat.

Allahyarham dimasukkan ke hospital pada 11.30 malam Khamis selepas kesihatannya merosot. Nora berkata, dia tidak sempat berada di sisi suaminya ketika Allahyarham menghembuskan nafas terakhir.

"Saya bawa dia ke hospital pada malam tadi dan terus ditahan di wad kecemasan, saya minta bilik eksekutif tapi penuh.

"Jadi saya terpaksa balik, selepas itu kira-kira pukul 5.30 pagi pihak hospital telefon beritahu arwah dalam keadaan tenat.

"Bila saya sampai, doktor beritahu arwah sudah meninggal dunia. Pada mulanya saya seakan-akan tidak percaya minta mereka buat pemeriksaan sekali lagi. Tapi saya reda dia pergi ke tempat yang lebih baik," ujarnya.

Anak sulung Johan dan Nora, Mohd Syakir Iman (tengah).

Selain itu, Nora turut menyifatkan Allahyarham seorang suaminya yang penyayang dan kuat berkerja. Dia akan memastikan usaha Allahyarham dalam beberapa projek akan diteruskan.

"Orang selalu ingat kami orang senang tapi sebenarnya tidak, tapi Allahyarham kuat bekerja dan memastikan kehidupan kami cukup.

"Saya tidak ada kenangan pahit dengan dia. Semua kenangan bersamanya adalah kenangan manis," ujarnya.

Nora dan Johan berkahwin pada 9 April 1993 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Mohd Syakir Iman, 24, Mohd Syakir Alif, 18, Putri Nur Dahlis, 13 dan Putri Nur Fatehah, 5 tahun.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Jumaat.

Tags / Kata Kunci: Nora Ariffin , Johan Nawawi

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan