Alif Satar Akur Dikenali Sebagai Hos Berbanding Penyanyi

Diterbitkan: Khamis, 23 Mac 2017 6:00 AM

Alif kini semakin dikenali sebagai pengacara. Foto SADIQ SANI

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penyanyi Alif Satar akur sekiranya orang ramai lebih mengenalinya sebagai pengacara memandangkan dia kini banyak mengendalikan program dan acara anugerah sebagai hos.

Sebaliknya kata Alif, dia menganggap perkara itu sebagai satu kelebihan kerana bukan mudah untuk mendapat kepercayaan mengendalikan program besar selain mula selesa menjadi hos.

"Jika orang lebih kenal saya sebagai pengacara berbanding nyanyian saya tidak kisah atau berasa risau.

"Ia sebenarnya kelebihan buat diri saya kerana itu memang diri saya dan bukan mudah mendapat kepercayaan untuk menjadi pengacara.

"Ia memerlukan komitmen yang tinggi dan persediaan rapi kerana ia bukan kerja yang mudah," katanya kepada mStar Online.

Alif dan Sherry bergandingan buat pertama kali mengacarakan program Rockanova. 

Penyanyi lagu Lelaki Seperti Aku ini bakal bertindak sebagai pengacara program Rockanova terbitan Astro disamping Sherry Alhadad.

Dalam pada itu, Alif berkata, itu tidak bermaksud dia akan melupakan bidang nyanyian sebaliknya pengacaraan dan lakonan akan berjalan seiring.

Malah kata bapa kepada dua cahaya mata ini, dia bakal melancarkan single terbaharunya yang juga lagu tema sebuah filem tidak lama lagi.

"Single baru sudah pun siap dan akan dilancarkan tidak lama lagi tetapi ia akan diumumkan kemudian.

"Malah saya berharap dapat bekerjasama dengan Faizal Tahir untuk album akan datang kerana sangat meminati karya-karya ciptaannya," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Alif berkata, dia kini sibuk dengan penggambaran drama bersiri Hikayat Cinta Si Pematah Hati bersama Nabila Razali untuk slot Megadrama di Astro.

Malah dia juga akan memasuki set penggambaran filem Memori Pajeri Nenas.

Rockanova bakal bersiaran selama lapan minggu secara langsung bermula 29 Mac ini pada pukul 9 malam di Pusat Konvensyen CIDB, Cheras, Kuala Lumpur.

Ia turut disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Prima (105) dan Maya HD (135).

Tags / Kata Kunci: Alif Satar , Sherry Alhadad , Rockanova

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan