Bade Azmi Nafi Adi Putra, Johan As'ari 'Buat Hal'

Diterbitkan: Khamis, 2 Mac 2017 6:30 AM

Bade Azmi mempertahankan komitmen yang diberikan semua pelakon filem Kanang anak Langkau: The Iban Warrior. -foto GLENN GUAN

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Belum sempat ditayangkan kepada umum, timbul berita kurang menarik membabitkan dua pelakon filem sejarah Kanang anak Langkau: The Iban Warrior iaitu Adi Putra dan Johan As'ari.

Menurut sumber produksi, kedua-dua pelakon ini bertindak secara tidak profesional susulan diberikan peranan kecil dalam filem berkenaan.

Bagaimanapun pengarahnya, Bade Azmi tampil mempertahankan Adi dan Johan dengan menyifatkan kedua-dua mereka  memberikan komitmen yang baik sepanjang pengambaran dilakukan.

Johan membawakan watak Lans Koperal Wan Shapuddin dalam filem biografi sejarah ini.
"Ketika uji bakat saya telah beritahu mengenai watak yang akan mereka bawa dalam filem ini. Mereka juga faham bahawa ini adalah filem Kanang Anak Langkau dan sudah pasti watak utama adalah pejuang itu.

"Saya juga tidak berhadapan masalah dengan mereka. Malah filem ini turut melibatkan ramai pelakon lain termasuk dari luar negara khususnya watak renjer British," katanya ketika ditemui mStar Online.

Bade ditemui pada majlis tayangan bersama media filem Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior di mmCineplexes Damansara pada Isnin.

Filem terbitan Tangan Seni Sdn Bhd yang akan menemui penonton pada 16 Mac ini menampilkan anak mendiang Kanang iaitu Langgi anak Kanang sebagai watak utama.

Ditanya mengapa watak Adi dan Johan tidak diolah supaya lebih menonjol sesuai dengan kemampuan mereka, Bade berkata isu berkenaan tidak seharusnya dibangkitkan apabila ia membabitkan filem sejarah seperti ini.

"Bagi saya isu ini tidak berbangkit kerana tumpuan seharusnya diberikan kepada watak Kanang itu sendiri," katanya.

Sementara itu Johan ketika ditemui berkata dia dan Adi tidak mencetuskan sebarang masalah kepada tenaga produksi walaupun memilih untuk tidak bersama pelakon lain tidur di dalam hutan yang menjadi lokasi utama pengambaran.

"Kami menjalani pengambaran di hutan di Perak selama lebih sebulan. Tapi saya berada (tidur di khemah) bersama mereka seminggu sahaja.

"Selepas itu Adi ajak saya tinggal luar. Saya faham...mungkin saya rasa selesa tapi dia dan pembantunya tak selesa.

"Lagipun mereka yang tidur di khemah ramai, Adi seorang...lebih baik saya teman dia," jelasnya.

Tambah Johan isu tinggal di luar hutan tidak seharusnya timbul apabila kontraknya menyatakan bahawa dia layak untuk membuat tuntutan bagi perbelanjaan penginapan.

Selain Adi dan Johan filem ini turut dibintangi Adam Shahz, Aidil Aziz dan Livonia Guing.

Tags / Kata Kunci: Bade Azmi , Johan As'ari. Adi Putra

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan