Khairul Aiman Kejar Cita-Cita Bidang Muzik Di Amerika

Diterbitkan: Ahad, 19 Februari 2017 2:00 PM

(Ubah saiz teks)

KARIER dalam bidang muzik bukan sesuatu yang digalakkan oleh Salwa Abdullah terhadap anaknya yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Tambahan pula, Muhammad Khairul Aiman Mohd Radzi hanya mempelajari bermain alat muzik sekitar usia 15 tahun.

Bagaimanapun Khairul bukan sahaja belajar bermain gitar bes tetapi turut melanjutkan pelajarannya dalam bidang muzik di Berklee College of Music di Boston, Massachusetts, Amerika Syarikat.

Bekas ketua pengawas sekolah SMK Sultan Abdul Hamid, Petaling Jaya itu turut mendapat anugerah dekan untuk lapan semester berturut-turut dan menghabiskan pengajiannya dengan cemerlang pada 2015.

Sejak itu dia terus menetap di New York dan memulakan kariernya sebagai pemain bes dan pengarah muzik.

Khairul turut menerbitkan tiga buah album termasuk Heart Strings untuk Jack Young yang dilancarkan pada 1 Januari lalu.

Dia juga bertindak sebagai penolong penerbit untuk album kumpulan seperti The Saturators dan THINK yang akan dilancarkan dalam masa beberapa bulan lagi.

Tidak cukup dengan itu, Khairul juga turut bertindak sebagai penerbit untuk single penyanyi Josh Sanburn dan Chris Lee yang kini boleh didengari menerusi aplikasi SoundCloud.

Berusia 23 tahun, Khairul juga berpeluang bekerjasama dengan Joseph Barnes yang juga seorang pemain genderang untuk bintang lagenda seperti Aretha Franklin, Carlos Santana dan The Isley Borthers.

"Saya banyak belajar daripadanya tentang menguruskan dan mengarahkan kumpulan.

"Saya juga banyak mendapat tunjuk ajar daripada Chris Loftlin yang juga pemain bes dan pengarah muzik untuk Brian McKnight yang banyak memberi nasihat berguna untuk berjaya sebagai pemuzik," katanya.

Sementara itu, Khairul juga pernah bekerjasama dengan Gonzalez Muller, pemenang Anugerah Grammy Latin yang juga jurutera muzik yang pernah bekerjasama dengan Metallica dan Dave Matthews Band.

Disebalik kejayaannya bekerja dengan nama-nama besar, Khairul turut tidak melupakan pemuzik tempatan iaitu Edvard Lee dan Rozhan Razman yang banyak membantu dan memberi inspirasi kepadanya.

"Mereka sudah tinggal dan bekerja di Amerika sebagai pemuzik profesional untuk berdekad lamanya dan mereka juga saya sifatkan sebagai mentor dan abang kepada saya.

"Semua nasihat mereka tiada tandingannya dan mereka banyak membantu saya," jelasnya.

Ditanya tentang cabaran terpaksa dilaluinya sebagai pemuzik di bandar besar seperti New York, Khairul berkata, dia perlu menonjolkan dirinya agar bakatnya disedari.

"Jika tiada siapa mengenali anda, tiada siapa akan panggil anda untuk mengadakan persembahan.

"Saya sentiasa mencari peluang untuk sentiasa menghadiri konsert atau sesi latihan untuk bertemu ramai orang dan menambah kenalan.

"Saya juga perlu tampil dengan kelainan kerana masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri dan sebagai pemuzik seseorang perlu bersedia untuk mengubah bunyi sedia ada untuk membentuk identiti sendiri," jelasnya.

Tambah Khairul, misinya mudah - untuk menjadi seorang yang berjaya dalam bidang muzik.

"Saya mahu berasa selesa bermain muzik bersama orang yang saya hormati dan berkongsi apa yang saya pelajari dengan pemuzik baharu yang memilih muzik sebagai karier," katanya.

Dalam perkembangan sama, Khairul berkata walaupun kini menetap di Amerika namun dia masih berhubung dengan rakan dan guru muziknya, Jerry Ventura yang telah membuka matanya terhadap bidang muzik. 

"Setiap kali pulang ke Malaysia, Jerry adalah orang pertama saya jumpa. Dia adalah orang yang menjadikan siapa saya hari ini.

"Jerry masih memberi pelbagai nasihat dan terus memberi inspirasi kepada saya," katanya.
Tags / Kata Kunci: Khairul Aiman

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan