Maya Ruslee Keluar Wang Sendiri Hasil Lagu Baharu

Diterbitkan: Isnin, 6 Februari 2017 6:40 AM

Maya Ruslee guna duit sendiri untuk hasilkan lagu baharu. Foto NORAFIFI EHSAN

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Penyanyi Maya Ruslee sanggup mengeluarkan wangnya sendiri bagi menghasilkan single terbaharunya yang bakal dilancarkan dalam waktu terdekat ini.

Maya atau Meyanaliza Ruslee, 41, berkata, dia tidak kisah terpaksa menggunakan wang simpanannya sendiri kerana paling penting dapat merialisasikan impian peminat yang sentiasa bertanyakan tentang lagu baharunya.

"Rasanya bukan saya sahaja yang keluarkan modal sendiri kerana ramai penyanyi yang buat perkara sama kerana sekarang kebanyakan artis tidak bernaung di bawah syarikat rakaman.

Maya ingin fokus kepada karier nyanyian.
"Tetapi tidak mengapa ia sebagai satu pelaburan dan pada masa sama saya juga dapat belajar proses menghasilkan sebuah lagu dan lebih puas hati.

"Paling penting saya dapat merialisasikan impian peminat yang tidak jemu-jemu bertanyakan bila saya hendak tampil dengan lagu baru," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun kata penyanyi yang popular dengan lagu Matahari ini, dia tidak terburu-buru untuk tampil dengan lagu baharu kerana ingin memastikan dapat mencari lagu sesuai yang dapat meninggalkan kesan kepada pendengar.

"Hendak cari lagu yang kena dengan selera pendengar dan pada masa sama sesuai dengan vokal dan usia saya bukannya mudah.

"Saya perlu membuat kajian terlebih dahulu kerana tidak mahu lagu itu nanti gagal mendapat perhatian pendengar.

"Tidak mengapa jika ia mengambil masa yang agak lama kerana yang penting hasilnya nanti memuaskan hati," jelasnya.

Dalam pada itu, Maya berkata, buat masa ini dia terpaksa menolak tawaran lakonan yang diberikan kepadanya kerana ingin memberi fokus seratus peratus terhadap bidang nyanyian.

Kata Maya, dia ingin mengembalikan momentumnya sebagai penyanyi yang telah ditinggalkan agak lama sebelum ini.

"Tawaran berlakon memang banyak tetapi kebanyakannya drama bersiri dan ia memerlukan masa yang panjang di lokasi penggambaran.

"Jadi apabila ada produksi panggil berlakon saya akan jelaskan baik-baik sebab saya terpaksa menolak kerana tidak mahu timbulkan masalah kepada mereka.

"Saya pula buat masa ini memang mahu fokus kepada nyanyian kerana sebelum ini pun saya sudah banyak berlakon sampai ada yang lupa saya bermula sebagai penyanyi," ujarnya.
Tags / Kata Kunci: Maya Ruslee

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan