Gambit Saifullah Ambil Masa Kenal Diri

Diterbitkan: Sabtu, 28 Januari 2017 6:45 AM

Gambit kini lebih terbuka untuk menerima tawaran berlakon. Foto AIMAN ARIFUDDIN

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Sungguhpun pernah dilabel sebagai pelakon bermasalah, Gambit Saifullah menyifatkan tindak tanduknya yang kurang matang sebelum ini banyak memberi pengajaran dalam meneruskan kerjaya dalam bidang seni.

Gambit atau nama sebenarnya Mohd Saifullah Rosli, 32, berkata dia mengakui terpaksa mengambil masa yang lama untuk mengenali diri dan menentukan hala tuju dalam industri hiburan.

"Alhamdulillah saya sudah jumpa arah tuju dan ia sangat jelas bahawa saya akan fokus kepada bidang lakonan.

Gambit muncul dengan azam baharu.
"Tapi pada masa yang sama saya tak akan tinggalkan bidang pengarahan kerana ia sebahagian daripada tanggungjawab saya kepada penonton.

"Sejujurnya inilah diri saya dan saya tak pernah menyesal di atas apa-apa yang berlaku sebelum ini," katanya kepada mStar Online baru-baru ini.

Pelakon filem Karipap-Karipap Cinta itu sebelum ini menghilangkan diri daripada industri hiburan selama lebih dua tahun sebelum kembali aktif sejak setahun yang lalu menerusi beberapa naskah seperti drama rantaian Isteri Tuan Ihsan dan filem Upin & Ipin Jeng Jeng Jeng.

Menurut Gambit yang sebelum ini sering dikaitkan dengan isu disiplin termasuk bermulut lepas, dia kini lebih terbuka untuk berhadapan dengan cabaran sebagai anak seni.

"Dari segi pengalaman dan kematangan saya sudah tahu bagaimana mana nak imbangkan penglibatan saya dalam filem atau drama bergenre berat atau permintaan pasaran seperti kisah cinta ringan.

"Namun pada asasnya saya masih memilih, tapi mungkin range pemilihan saya itu lebih luas.

"Maksudnya ada benda yang saya akan buat lebih kepada karya yang memberi pengajaran kepada penonton dan ada yang ikut permintaan pasaran seperti Isteri Tuan Ihsan," katanya.

Jelas aktor itu lagi, dia kini mempunyai semangat dan azam baharu untuk memeriahkan industri hiburan.

Tambah Gambit, dia percaya kepada faktor rezeki yang ditentukan Allah untuknya sama ada pada masa lalu atau akan datang.

"Memang dulu saya banyak tolak tawaran ketika nama tengah meningkat naik tapi saya percaya kepada rezeki, maknanya jika sudah ada di depan mata pun, saya tak akan memilikinya kalau ia bukan hak saya.

"Saya yakin, pasti ada sebab tertentu mengapa saya bertindak sedemikian dulu. Mungkin saya akan hanyut kalau saya terus meningkat naik pada masa itu, siapa tahu?" katanya.

Tags / Kata Kunci: Gambit Saifullah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan