Ziana Turut Tempuh Laluan Sukar Berniaga Tudung

Diterbitkan: Rabu, 25 Januari 2017 6:00 AM

Ziana Zain

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penyanyi Ziana Zain menolak tanggapan bahawa populariti sebagai selebriti merupakan laluan mudah untuknya yang baharu berjinak-jinak dalam dunia perniagaan tudung.

Menurut Ziana atau Siti Roziana Zain, 49,  dia perlu mengharungi asam garam dunia perniagaan sama seperti peniaga lain termasuklah berhadapan rungutan daripada pembeli berhubung mutu tudungnya yang menggunakan label Ziana Zain's World.

"Kalau boleh tak mahulah ada pembeli yang merungut. Saya cuba pastikan semua produk yang dikeluarkan berada dalam keadaan baik.

Ziana Zain

"Tapi sebagai manusia biasa, kadang-kadang kita tak terlepas daripada melakukan kesilapan termasuk rungutan pembeli kerana mutu jahitan yang kurang memuaskan.

"Bila ada yang complain saya akan tukar dengan produk baharu," katanya kepada mStar Online di sini, Selasa.

Ziana ditemui pada pelancaran portal beli-belah Section 1 yang diadakan di Publika di sini pada Selasa.

Bagaimanapun menurut Ziana, dia sentiasa akan memastikan bahawa label keluarannya itu memenuhi standard yang dijanjikan.

"Saya terlibat secara langsung termasuk daripada aspek pemilihan material, warna, corak, jahitan, jualan mahupun promosi.

"Saya sendiri sangat cerewet pilih kain untuk dipakai, jadi bila nak bagi orang pakai tudung keluaran saya pun perlu dipastikan agar ianya betul-betul berkualiti," katanya.

Ziana mula melancarkan koleksi tudung jenis shawl dan skaf sejak September 2016.

Selain itu menurut Ziana, walaupun agak terlewat menceburi bidang perniagaan iaitu selepas 26 tahun terlibat dalam dunia hiburan, dia begitu teruja untuk belajar dari bawah.

"Kena ingat, menjadi selebriti bukan platform mudah nak jual barang. Memang ada orang kata letak sahaja produk label Ziana Zain pasti orang beli.

"Tapi sebenarnya tidak. Nama sahaja tak cukup jika tak lalui proses yang betul. Saya kena fikir strategi pemasaran supaya orang tahu produk apa yang dijual," katanya.

Jelas Ziana sehingga kini dia menerima maklum balas positif daripada pembeli terutamanya yang meminati corak eksklusif dan pilihan warna yang ditawarkan.

Tags / Kata Kunci: Ziana Zain

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan