'Rockanova' Bakal Angkat Kegemilangan Muzik Rock

Diterbitkan: Isnin, 23 Januari 2017 9:48 PM

Dari kiri; Edry, Awie dan Hattan yang terlibat dalam Rockanova. Foto HAZIM FAUZI

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kegemilangan aliran muzik rock bakal dikembalikan menerusi program pencarian bakat baharu terbitan Astro iaitu Rockanova.

Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, pertandingan selama lapan minggu itu bertujuan mencungkil bakat penyanyi rock secara solo.

"Kami bukan sahaja ingin mencungkil bakat dan kebolehan penyanyi yang berpotensi untuk menjadi pelapis aliran ini, malahan untuk mengangkat martabat muzik rock ke peringkat lebih tinggi.

"Rockanova juga sebagai usaha untuk meneruskan kesinambungan genre yang pernah satu ketika dahulu menjadi fenomena kepada generasi seterusnya," katanya kepada mStar Online pada Isnin.

Beliau ditemui selepas sidang media mengenai program berkenaan di Hard Rock Café, di sini.

Raqim (kanan) bersama mereka yang terkibat dalam Rockanova.
Rockanova menggandingkan tiga ikon dunia muzik iaitu penyanyi Datuk Awie dan komposer Edry Abdul Halim sebagai juri tetap yang akan menilai persembahan para peserta berdasarkan kriteria yang ditetapkan.

Sementara itu penyanyi Datuk Hattan pula akan bertindak sebagai guru vokal dan persembahan.

Ketiga-tiga mereka juga bertanggungjawab sebagai juri bagi sesi uji bakat yang akan diadakan pada 18 dan 19 Februari depan di Anggerik Mall, Shah Alam.

Selain itu menurut Raqim, peserta yang berminat juga boleh menyertai sesi uji bakat secara dalam talian dengan hanya perlu memuat naik video nyanyian mereka ke laman Instagram dengan hashtag #bakatrockanova.

"Peserta juga diberi pilihan untuk menyertai sesi uji bakat menerusi platform radio rasmi Rockanova iaitu Sinar FM di segmen petang Santai Sinar yang dikendalikan penyampai radio Salleh Yaacob dan Feeya Iskandar," katanya.

Program Rokcanova memperkenalkan sistem pemarkahan berdasarkan 70 peratus oleh pihak juri dan 30 peratus hasil undian menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Rockanova bakal disiarkan di saluran rasmi Astro Prima (105) dan siaran serentak di Maya HD (135) bermula 29 Mac depan.
Tags / Kata Kunci: Rockanova , Awie , Raqim , Edry , Hattan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan