40 Pelajar Terlibat Pembikinan Filem Terbaharu A. Razak Mohaideen

Diterbitkan: Ahad, 8 Januari 2017 6:10 AM

Usahawan kosmetik, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman dan Fasha Sandha bakal menerajui filem Badang. Foto THE STAR/NORAFIFI EHSAN

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Pengarah Datuk Profesor Dr. A. Razak Mohaideen memberi peluang kepada 40 pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) untuk sama-sama terlibat dalam pembikinan filem terbaharu arahannya berjudul Badang.

A. Razak berkata, kesemua pelajar itu juga akan menjalani latihan perfileman secara langsung dalam memberikan mereka pendedahan kepada kerja-kerja produksi sebenar.

"Ini adalah filem keempat terbitan FiTA Studios Sdn Bhd dan kali ini kami memberi peluang kepada 40 pelajar untuk sama-sama menyertai menjayakan filem ini dari pelbagai aspek.

"Dengan cara ini ia dapat memberi pendedahan secara langsung kepada mereka dan sebagai persediaan sebelum melangkah ke dunia sebenar," katanya kepada mStar Online.

A. Razak ditemui pada majlis doa selamat dan bacaan skrip filem Badang yang diadakan di Intekma Resort & Convention Centre di sini, Jumaat lalu.

Barisan pelakon dan tenaga produksi filem Badang pada sidang media pengumuman filem berkenaan baru-baru ini.

Filem itu bakal menampilkan barisan pelakon seperti Datuk Aliff Syukri, Fasha Sandha, Fauzi Nawi dan Fareez Fauzi.

Karya berbentuk adiwira adaptasi daripada kisah rakyat itu bakal menjalani penggambaran pada 15 Januari ini.

Badang adalah terbitan FiTA Studios Sdn Bhd dan UiTM Holdings.

Dalam pada itu, A. Razak berkata, dia memilih untuk mengangkat adiwira sebagai tunjang filem terbaharunya itu kerana sudah lama ingin berbuat demikian.

Tambahnya lagi, faktor kekurangan filem-filem berkonsepkan seperti itu juga membuatkan dia terpanggil untuk menghasilkan sebuah filem adiwira yang dekat dengan masyarakat Malaysia.

"Malaysia jarang-jarang ada filem berbentuk adiwira dan jika ada pun adalah Cicakman.

"Atas dasar itu saya cuba mencari subjek yang dekat di hati masyarakat dan sebab itu kita memilih Badang yang terkenal dengan kisahnya.

"Telah menjadi hasrat saya sejak dahulu untuk menghasilkan filem seperti ini dan Alhamdulillah ia akhirnya tercapai," katanya.

A. Razak Mohaideen.

Tambah A. Razak, dia berharap kemunculan filem Badang ini bukan sahaja dapat menarik minat penonton dewasa malah akan menjadi kegemaran dikalangan kanak-kanak.

Sementara itu, ditanya mengenai pemilihan Aliff sebagai hero, A. Razak berkata, ia dibuat bukan sahaja kerana kebolehannya berhadapan dengan masyarakat tetapi melihat usahawan itu mempunyai bakat sebagai pelakon.

"Dia pada awalnya terkejut dan keberatan untuk terima tetapi akhirnya bersetuju.

"Apa yang saya lihat gaya percakapan dan mimik mukanya menunjukkan dia berkebolehan untuk berlakon dan selepas membuat sesi latihan ternyata Aliff memang berbakat besar.

"Ia akan memberi kelainan pada filem itu nanti dengan gaya Aliff yang tersendiri," ujarnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan