Azwan Kombos Penuhi Hasrat Isteri Kerjakan Umrah Bersama

Diterbitkan: Isnin, 19 Disember 2016 5:30 AM

Azwan Kombos dan isteri Ezzaty bakal tunai umrah.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pelakon Azwan Kombos menunaikan hasrat isterinya Ezzaty Abdullah, 26, untuk menunaikan umrah bersama pada 15 Januari depan.

Azwan atau nama sebenarnya Mohd Al Azwan Kombos, 31, berkata, dia berasa teruja apabila pertama kali bakal menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah itu turut ditemani isteri dan ibunya.

"Alhamdulillah, hasil perniagaan kami bersama menerusi produk kosmetik Vermillion dapat juga saya bawa isteri dan ibu mengerjakan umrah pada Januari depan.

"Isteri saya paling teruja kerana dia pernah pergi dua kali dan teringin sangat untuk bawa saya dan ibu ke sana selepas kami berkahwin," ujarnya kepada mStar Online.

Pasangan ini selamat bergelar suami-isteri pada 16 Julai lalu dengan sekali lafaz pada majlis pernikahan yang diadakan di kediaman keluarga aktres itu di Bentong, Pahang.

Sementara itu, Azwan berkata, dia turut menyimpan niat untuk berdoa diberi rezeki cahaya mata sebagai pelengkap keluarga.

Azwan bersyukur dapat tunai umrah hasil perniagaan Vermillion yang diusaha bersama isteri.

"Selain diberi kehidupan sebagai suami-isteri yang lebih baik, kerjaya, saya juga ingin berdoa agar dikurniakan cahaya mata kepada kami sebagai pelengkap kehidupan kami sebagai suami-isteri.

"Apa-apa pun, diberi peluang menjejakkan kaki di tanah suci itu sahaja sudah satu rezeki yang tidak terhingga buat saya," ujarnya.

Sementara itu, ditanya tentang kerjaya, Azwan berkata, dia baharu sahaja selesai penggambaran telefilem berjdudul GF Aku Amnesia bersama Ezzaty yang bakal disiarkan di Hypptv.

Azwan berkata, ia merupakan kali pertama mereka digandingkan sebagai pelakon utama dan mengakui agak janggal.

"Rasa janggal berlakon dengan isteri sendiri, mana tidaknya saya rasa malu jika buat salah depan dia.

"Bila terlalu berhati-hati pula nampak seperti kami sedang berlakon, mungkin selepas ini saya tidak terima lagi tawaran untuk berlakon bersama," ujarnya.

Dalam perkembangan perniagaannya kosmetik Vermillion, Azwan berkata, sambutan sangat menggalakkan terutama di Singapura.

Tambahnya, dia bakal mengeluarkan bungkusan yang lebih menarik pada tahun hadapan.

"Alhamdulillah, kami akan lebih menguatkan dari sudut promosi dan kesedaran masyarakat terhadap produk kami ini," ujarnya.

Tags / Kata Kunci: Azwan Kombos

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan