Kerjaya Pegawai Jaip Platform PU Nor Hamizi Sebar Dakwah

Diterbitkan: Jumaat, 9 Disember 2016 1:26 PM

Juara program Pencetus Ummah musim keempat, Nor Hamizi Jamaluddin tidak merancang meninggalkan kerjayanya sebagai Penolong Pengarah Bahagian Dakwah di Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip).

(Ubah saiz teks)

KAJANG: Juara Pencetus Ummah musim keempat Nor Hamizi Jamaluddin tidak akan melepaskan jawatannya sebagai Penolong Pengarah Bahagian Dakwah di Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) selepas menjuari program Islamik itu.

Nor Hamizi, 41, sebaliknya berkata, dia melihat kerjaya tersebut memberi kelebihan dan kekuatan untuknya menyampaikan dakwah dengan lebih luas pada masa hadapan.

"Saya tidak berhasrat untuk berhenti kerja walaupun bergelar juara Pencetus Ummah kerana merasakan jawatan sekarang memudahkan saya untuk menyampaikan dakwah.

"Pada saya tugas menyampaikan dakwah dibawah Jaip lebih besar kerana apabila kita gabungkan dakwah dan tugas dalam jabatan ia akan menjadi lebih kemas dan mempunyai kekuatan tersendiri," katanya kepada mStar Online.

Nor Hamizi ditemui pada sidang media selepas pentas akhir Pencetus Ummah musim keempat yang diadakan di Dewan Konvensyen, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), di sini malam Khamis.

Kemenangan itu melayakkannya membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 dan sebuah trofi sumbangan Astro.

Nor Hamizi (dua dari kiri) bersama finalis Pencetus Ummah.

Dalam pada itu, Nor Hamizi yang sering menerima undangan ceramah agama di seluruh negara menganggap perkara itu tidak menggangu tugas sehariannya di pejabat.

"Tiada keperluan untuk saya meninggalkan tugas saya sekarang kerana saya terima undangan ceramah pun selepas waktu bekerja dan hujung minggu sahaja.

"Insya-Allah, ia tidak menjejaskan fokus saya terhadap tugas di pejabat," ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya tentang perancangan wang kemenangan diperolehnya, Nor Hamizi memberitahu dia merancang untuk menyalurkan wang tersebut sebagai perbelanjaan rumah kebajikan miliknya iaitu Permata Insyirah dan Permata Kauthar yang menempatkan kanak-kanak perempuan.

Selain itu, Nor Hamizi turut merancang untuk menyalurkan wang tersebut kepada sebuah sekolah tahfiz iaitu Sahabat Muharabi yang memberi pendidikan khusus kepada kanak-kanak lelaki Orang Asli yang baharu memeluk agama Islam.

"Saya memasuki pertandingan ini bukan kerana wang kemenangan jadi saya masih belum berfikir bagaimana untuk menggunakan wang tersebut.

"Mungkin juga ia untuk tiga rumah kebajikan, anak yatim dan mualaf yang saya bina di Pahang, untuk ibu-bapa dan keluarga," ujarnya.

Tags / Kata Kunci: Nor Hamizi Jamaluddin , Pencetus Ummah , PU

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan