"Muka Kerap Keluar TV Bukan Bermakna Sudah Kaya" - Mark Adam

Diterbitkan: Rabu, 7 Disember 2016 6:00 AM

Mark Adam

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penyanyi Mark Adam menepis tangapan segelintir pihak yang menganggap dia sudah hidup senang selepas bergelar artis dan sering muncul di televisyen.

Mark atau nama Islamnya, Fikri Mark Adam, 37, berkata, kehidupannya sebagai artis bukan seperti yang disangka, dia masih perlu bekerja keras untuk menampung kehidupan isteri dan keluarga masing-masing.

"Mana ada saya kaya, muka saya selalu keluar televisyen bukan bermakna saya sudah jadi kaya. Kadang-kadang saya keluar televisyen pun untuk promosi dan tiada bayaran.

"Saya masih perlu kerja kuat untuk menyara kehidupan di sini dan perlu menanggung isteri, keluarga mertua dan keluarga saya di Filipina.

"Sehingga kini saya masih belum mampu untuk menunaikan hasrat membina rumah untuk ibu saya di sana," ujarnya kepada mStar Online.

Dia ditemui pada majlis sidang media drama bersiri kanak-kanak terbaharu iaitu Petrosains, KLCC, di sini, Selasa.

Namun, Mark mengakui kehidupannya sedikit selesa berbanding awal pembabitannya dalam industri seni.

Mark Adam akan muncul dalam drama bersiri sains kanak-kanak terbaharu iaitu 'Supersains' di Astro TVIQ bermula Rabu pukul 11.30 pagi.
"Kalau dulu gaji saya kira-kira RM2,500 sebulan sekarang dalam RM4,000 sebulan. Saya tetap bersyukur dan jika banyak gaji saya bulan itu dapat saya berkongsi dengan ahli keluarga yang lain," ujarnya.

Selain itu, penyanyi yang terkenal dengan lagu Katak ini mengakui, tidak pernah menghabiskan duit untuk bercuti bersama isteri Nor Azah Redzuan, 37, dan keluarga.

Bagaimanapun, dia mengakui mempunyai cara tersendiri untuk membuatkan isterinya berasa gembira selain bercuti.

"Kalau ada dua perkara yang datang kepada saya iaitu bercuti dengan bekerja saya lebih memilih untuk bekerja kerana saya sudah set dalam minda bahawa bercuti itu bekerja.

"Isteri saya faham, kalau ingin buat dia gembira pun bukan perlu bercuti tetapi dengan cara membahagiakan ibunya sahaja (ibu mertua). Contohnya jika isteri minta saya baiki pintu rumah untuk ibunya dan saya akan lakukan kerana itu yang membuatkan dia gembira," ujarnya.

Sementara itu, ditanya tentang persepsi keluarganya terhadap populariti yang dikecapi kini, Mark berkata, keluarga sangat bangga dengan kejayaan tersebut.

"Keluarga saya bangga, tapi orang kampung tiada yang tahu saya artis. Tapi sudah menjadi tradisi di kampung saya jika seseorang yang sudah berhijrah keluar bandar dan mereka akan disanjung bila pulang.

"Jadi bila saya balik kampung, mereka akan sambut macam YB (Yang Berhormat)," ujarnya yang sudah hampir empat tahun tidak pulang berikutan jadual kerja yang padat.
Tags / Kata Kunci: Mark Adam

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan