Siti Sarah Syukur Tiada Masalah Suara Pada Konsert Akhir 'GV3'

Diterbitkan: Isnin, 5 Disember 2016 1:41 PM

Siti Sarah bersyukur tiada mengalami masalah suara pada malam akhir Gegar Vaganza 3. Foto RICKY LAI

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Penyanyi Siti Sarah bersyukur tiada masalah suara dihadapinya pada malam akhir Gegar Vaganza 3 yang berlangsung di Auditorium MBSA, malam Ahad.

Sarah atau nama sebenarnya Siti Sarah Raissuddin, 32, bagaimanapun berkata, dia akur dan percaya kepada rezeki yang sudah menetapkan untuk dia menduduki tempat kedua pada pertandingan tersebut.

"Saya percaya jodoh dan rezeki sudah tertulis, malam ini adalah rezeki Azharina Azhar.

Sarah bakal tampil dengan single terbaharu tidak lama lagi.
"Saya sudah cuba yang paling terbaik yang boleh, secara jujurnya saya sangat bersyukur suara boleh keluar malam ini," ujarnya kepada mStar Online.

Sarah berkata, suara merupakan perkara paling membimbangkan berikutan dia berhadapan masalah suara sejak melahirkan tiga cahaya mata.

Penyanyi itu memenangi tempat kedua dan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM50,000, pakej percutian dan sebidang tanah lot banglo bernilai RM60,000.

Dia juga memenangi persembahan pilihan penonton dengan membawa pulang wang tunai RM5,000.

Sarah membawakan lagi I Will Always Love You nyanyian asal Whitney Houstson dan Matahariku (Agnes Monica) sementara lagu Seandainya pula ketika battle bersama Azharina.

Dalam pada itu, Sarah berkata, dia pernah rasa putus asa dan berhasrat untuk tidak meneruskan perjuangan dalam pertandingan itu.

"Saya dikelilingi orang-orang yang sentiasa beri semangat terutamanya bila saya rasa tidak tahan dan ingin menarik diri.

"Masalah kesihatan yang teruk juga membuatkan saya rasa tidak mampu untuk bertanding sehingga ada saatnya suami saya Shuib menyokong jika saya sudah tidak mahu bertanding kerana kasihan melihat saya," ujarnya.

Dalam pada itu, Sarah berkata, dia sudah mempunyai perancangan untuk meneruskan kerjaya nyanyiannya dan bakal merakam lagu duet bersama penyanyi Tam Spider dalam masa terdekat.

Tags / Kata Kunci: Siti Sarah Raisuddin , GV3 , Gegar Vaganza

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan