Finas Perlu Pemimpin Faham Matlamat Pembangunan Filem

Diterbitkan: Rabu, 16 November 2016 5:47 PM

Industri perfileman negara perlu dibangunkan dan Finas memainkan peranan penting itu. Gambar sekadar hiasan.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) memerlukan kepimpinan baru yang lebih tangkas dan berwibawa dalam usaha meningkatkan industri filem dan kandungan kreatif negara seperti digariskan dalam program transformasi ekonomi (ETP) kerajaan.

Presiden, Institut Kesenian dan Kajian Media Malaysia (Semesta), Dr Mahadi J Murat berkata, agenda perfileman nasional perlu bermatlamat dalam menghasilkan filem yang bermutu pada “bentuk, kandungan dan nilai sinematik sejagat”.

"Usaha membangun sumber manusia melalui “program meningkatkan upaya profesional karyawan teraju”, juga perlu diadakan.

Mahadi J Murat.
"Tanpa memperkasa karyawan sedia ada, disamping membangun karyawan baru, termasuk lepasan IPT matlamat jangka panjang industri sukar dipacu ke hadapan," katanya dalam satu kenyataan kepada mStar Online pada Rabu.

Mahadi yang juga pengarah filem berkata, kedua-dua aspek iaitu mutu filem dan karyawan profesional penting dan perlu diutamakan bagi menentukan Malaysia menjadi pemain yang efektif di persada maya dan sejagat.

Katanya, selagi kandungan dan keupayaan tinggi karyawan tidak dibangunkan  sepenuhnya, selagi itulah Malaysia akan hanya menjadi penurut dan pelanggan idelisme yang dibawa oleh pihak lain.

Tambahnya, kreativiti dan inovasi lahir  apabila terdapat suasana kompetatif, yang mencabar bakat, kemahiran dan keilmuan dan mencambahnya secara berterusan.

"Seperti bahasa dan kebudayaan, filem juga memainkan peranan penting, malah peranan utama dalam membina identiti dan matlamat negara-bangsa terutama bagi sebuah negara seperti Malaysia," katanya.

Jelasnya asas yang sedia ada di Finas kini perlu dilangsungkan dengan pendekatan yang mengambil kira sentimen khalayak dan cita-cita negara.

Terdahulu, Finas menerusi kenyataan medianya memaklumkan, jawatan Ketua Pengarah agensi itu kini dipangku oleh Timbalan Ketua Pengarah (Produksi dan Komunikasi) Datuk Fauzi Ayob berkuatkuasa 14 November lalu.

Jawatan berkenaan sebelum ini disandang oleh Datuk Kamil Othman yang bersara pada  9 November lalu.
Tags / Kata Kunci: Finas , Mahadi J Murat

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan