Bahagia Bersama Keluarga, Camelia Tidak Kesal Tinggalkan Dunia Seni

Diterbitkan: Jumaat, 4 November 2016 1:45 PM

Camelia kini bahagia dengan kehidupannya sebagai isteri dan ibu. Foto Fail The Star

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penyanyi yang pernah menempa kemasyhuran lewat tahun 1990-an iaitu Camelia, sudah meninggalkan terus dunia hiburan dan tidak menyesal membuat keputusan itu.

Sebaliknya kata Camelia, 42, atau kini dikenali dengan gelaran Datin Seri Camelia, beliau cukup bahagia dengan kehidupannya sebagai seorang isteri dan ibu.

“Saya sudah tinggalkan dunia hiburan sepenuhnya. Dalam erti kata lain, saya sudah bersara dan fokus saya sekarang ialah rumah tangga selain melibatkan diri dalam kerja-kerja kebajikan.

Imej terkini Camelia (kiri) ketika bergambar dengan penulis sambilan mStar Online iaitu Shazryn Mohd. Faizal.

“Malah, saya juga tidak merindui dunia yang pernah saya lalui dulu. Kalau rindu menyanyi, hanya sekadar di rumah sahaja,” ujarnya kepada mStar Online sewaktu ditemui di sebuah pusat beli-belah di sini pada Khamis.

Pertemuan dengan pemilik nama penuh Dayang Nur Camelia Abang Khalid itu adalah secara kebetulan.

Beliau pernah popular dengan lagu Rindu Padanya dan Dengarlah Kasih.

Masih kekal ramah dan jelita seperti dahulu, Camelia yang bersama anak perempuannya iaitu Aisya Asmara Khan, berusia enam tahun turut menjelaskan kehidupan dilaluinya kini sudah lama diimpikan.

Disebabkan itu, beliau bersyukur dengan apa yang dimilikinya dan tidak ralat meninggalkan terus dunia seni yang pernah meletakkan namanya di puncak.

Dalam pertemuan itu juga, Camelia sempat berkongsi nostalgia sebagai seorang penyanyi dan selebriti selama hampir 15 tahun sebelum mengundurkan diri.

Camelia sering mendapat peluang menjadi model produk kecantikan antarabangsa suatu ketika dahulu kerana kejelitaannya.

Salah satunya apabila dia yang pernah diberi jolokan ikon fesyen itu menjelaskan dirinya seorang yang cukup bertuah kerana dapat merakamkan banyak lagu indah terutama lagu Ku Izinkan Kasih.

Jelas Camelia, lagu ciptaan Azlan Abu Hassan dan lirik oleh Ishak Ahmad atau Ucu itu merupakan sebuah lagu yang menjadi kegemarannya sehingga ke hari ini dan pernah dimuatkan dalam album ketiganya, Memori (1999).

“Tidak ramai yang sedar akan lagu itu tetapi saya cukup bertuah dapat merakamkannya.

"Malah, tidak ramai juga seperti anda (penulis) yang tahu dan sukakan lagu itu,” ujar bekas jurucakap produk kecantikan L’Oreal ini sambil mengucapkan terima kasih sebelum memohon diri untuk pulang.

Selain Memori, sepanjang bergelar penyanyi, Camelia sempat merakamkan empat buah album studio iaitu Camelia (1997), I, II, III (1998), Mimpi (2001) dan Mysticam (2007) serta album kompilasi, Untukmu pada tahun 2003.

Kehilangan secara tiba-tiba Camelia sebelum ini pernah menjadi tanda tanya peminat dan pihak media sehinggalah berita perkahwinan kali keduanya bersama seorang ahli perniagaan terkenal, Datuk Seri Akhbar Khan tersebar sekitar tahun 2010.

Sejak itu, bekas pemenang Artis Baharu Wanita Terbaik dan Vokal Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik Kelima (1998) ini terus diburu oleh pihak media untuk mengetahui kisah terbaharunya.

Anak kelahiran Kuching, Sarawak ini juga pernah mendirikan rumah tangga bersama Mohd. Ehsan Tun Ahmad Zaidi Edruce sekitar tahun 1996.

Namun, ia tidak kekal lama apabila mereka bercerai pada tahun 1999 tanpa cahaya mata.

Tags / Kata Kunci: Camelia

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan