Pekin Ibrahim Sebak, 'Rock Bro' Imbau Perjuangan Dalam Industri

Diterbitkan: Ahad, 23 Oktober 2016 5:00 AM

Pekin bersama pelakon-pelakon utama filem Rock Bro.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pelakon Pekin Ibrahim mengakui sebak ketika menonton filem siri terakhir filem Rock arahan Mamat Khalid berjudul Rock Bro pada tayangan Malam Gala Rock Bro, baru-baru ini.

Pekin atau nama sebenarnya Mohd Iznan Ibrahim, 35,berkata, mesej yang ingin disampaikan oleh pengarah berkenaan dalam filem itu sama seperti yang pernah dilalui ketika dia mula menceburi industri seni tanah air.

"Saya sebak kerana filem ini benar-benar menarik perasaan dan jiwa saya, biarpun ia berkaitan dengan muzik rock tapi saya lihat perkara itu sama yang terjadi dalam industri perfileman juga.

"Perjuangan yang dilalui oleh mereka dalam memperjuangkan muzik rock mengingatkan saya mula-mula datang ke Kuala Lumpur yang hanya makan mee segera," ujarnya kepada mStar Online.

Mamat Khalid (tiga dari kiri) bersama barisan pelakon Rock Bro.

Filem Rock pertama ditayangkan pada tahun 2005, manakala siri kedua Rock Ooo pada 2013.

Sementara filem Rock Bro bakal ke pawagam bermula 27 Oktober ini.

Dalam pada itu, Pekin berkata, dia turut terkesan dengan pengakhiran filem Rock Bro yang mengundang emosi sedih.

Katanya, sebagai anak seni, dia tidak mahu perjuangannya berakhir seperti mana yang digambarkan dalam filem berkenaan.

"Masa dapat sahaja skrip saya sudah tersentuh dan sedih kerana abang Mamat matikan beberapa watak utama. Hanya watak saya iaitu Slash yang sampai ke penghujung dan membawa mesej berat.

"Ia memang susah kerana babak akhir itu saya terpaksa bawa emosi rakan-rakan lain yang sudah dimatikan wataknya.

"Biarpun jalan cerita sama dengan realiti hidup saya tapi saya tidak mahu berkesudahan seperti watak Slash," ujarnya.

Dalam pada itu Mamat Khalid berkata, sudah sampai masanya untuk dia menamatkan siri filem Rock dengan filem ketiga itu iaitu Rock Bro.

Filem terakhir ini turut menampilkan penyanyi-penyanyi rock terkenal seperti Mus May, Datuk Hattan, Man Kidal dan Black Wings.

"Cukuplah dengan tiga filem Rock ini dan filem terakhir ini boleh berdiri dengan sendiri biarpun penonton tidak mengikuti filem pertama dan kedua.

"Filem Rock terakhir ini istimewa kerana bermain emosi sedih dan menampilkan tetamu undangan penyanyi rock terkenal," ujarnya.

Filem ini turut dibintangi oleh Khir Rahman, Sofi Jikan, Azmi Black, Kamarool Yusoff, Shawarni, Amy Juliet dan Juliana Iskandar.

Tags / Kata Kunci: Pekin Ibrahim , Rock Bro

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan