Anggota Asal OAG Bergabung Demi Projek Khas

Diterbitkan: Khamis, 22 September 2016 6:00 AM

Anggota asal OAG dari kiri; Qi Razali, Radhi dan dan Lam bakal tampil dengan konsert khas bersempena sambutan ulangtahun ke-25 kumpulan itu tahun hadapan. Foto RICKY LAI

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Gabungan semula anggota asal OAG yang pernah popular menerusi lagu 60's TV bukan bererti ahli terkini kumpulan itu diabaikan.

Pemain dram asal OAG, Qi Razali menjelaskan penyatuan semula mereka dibuat bersempena dengan sambutan ke-25 tahun kumpulan itu pada tahun hadapan.

"Sebenarnya kami sudah lama merancang untuk buat reunion tetapi pelbagai faktor yang menghalang kerana semua sibuk dengan kerjaya masing-masing.

"Alhamdulillah pada sambutan Tahun Baru Cina Februari lalu telah menyatukan kami semula selepas sekian lama tidak bertemu dan kami fikir ini adalah masa paling sesuai untuk membuat kemunculan semula.

Dari kiri; Qi Razali, Radhi dan Lam.
"Ia bukan bererti kami akan meminggirkan ahli terkini OAG tetapi gabungan kembali anggota asal adalah kerana sambutan 25 tahun kumpulan ini pada tahun hadapan," katanya kepada mStar Online.

Qi ditemui pada majlis pengumuman kolaborasinya bersama Coffee Bean & Tea Leaf di sini, Rabu.

Dua anggota asal OAG iaitu Radhi (vokalis) dan Lam (bass) turut hadir pada acara itu.

Bagaimanapun pemain gitar asalnya, Ivan tidak hadir kerana menetap di luar negara dan bertugas sebagai doktor perubatan.

Untuk rekod, OAG yang mempertaruhkan genre '60's crunchy pop fuzz' mencipta rekod penjualan album Inggeris tempatan paling laris dalam sejarah apabila album pertama mereka, Old Automatic Garbage terjual sebanyak 75,000 unit ketika dilancarkan pada 1994.

Dalam pada itu, Qi berkata, bersempena ulangt ahun OAG mereka bakal mengadakan sebuah konsert khas untuk para peminat setia kumpulan itu pada Ogos tahun hadapan.

Kata Qi, selain ia adalah tahun ke 25 kewujudan OAG, bulan kemerdekaan itu dipilih kerana semua anggota asal kumpulan itu dilahirkan pada bulan Ogos.

"Kami umumkan gabungan semula dari sekarang kerana ingin memberitahu kepada peminat bahawa kami semua masih bersama dan akan ada sesuatu yang istimewa menanti mereka pada tahun hadapan.

"Banyak perancangan yang perlu dibuat dari sekarang malah Ivan juga menyatakan komitmen dan akan pulang ke tanah air bagi menjayakan konsert itu," katanya.

Tambah Qi, konsert itu nanti turut memperlihatkan penglibatan semua anggota yang pernah menyertai OAG sehingga ahli terkini.

Anggota kumpulan asal OAG memegang buku The OAG Story.

"Konsert itu nanti akan memperlihatkan perjalanan OAG sepanjang 25 tahun dalam industri hiburan.

"Semua yang pernah menganggotai OAG akan terlibat dan mempersembahkan lagu-lagu mengikut zaman masing-masing," jelasnya.

Sementara itu, Qi berkata, sebagai promosi awal konsert berkenaan, mereka akan mengadakan persembahan mini di beberapa lokasi sebagai makluman tentang kemunculan semula anggota asal OAG.

Dalam perkembangan lain, Qi berkata, kerjasama dengan Coffee Bean & Tea Leaf bakal memperlihatkan buku biografi kumpulan itu yang berjudul The OAG Story akan dijual di enam cawangan kafe berkenaan di seluruh negara.

Malah katanya, penggemar kopi jenama itu juga berpeluang membeli Caramel Machiatto hasil buatannya sebagai 'barista of the day'.

"Saya memang sukakan kopi terutamanya Caramel Machiatto daripada kafe berkenaan dan tidak menyangka diberi peluang untuk bekerjasama dalam mempromosikan buku biografi OAG," katanya.

Buku yang dijual pada harga RM50 itu boleh didapati di cawangan Coffee Bean & Tea Leaf di Taman Tun Dr Ismail, Empire Subang Jaya, Midvalley Megamall, Kinta City Ipoh, Queensbay Pulau Pinang dan City Square Johor Baru.

Tags / Kata Kunci: OAG , Qi Razali

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan