Bukan Halangan Raja Azmi Cuba Berlakon Pada Usia Lanjut

Diterbitkan: Jumaat, 9 September 2016 6:00 AM

Raja Azmi tidak melihat usianya sebagai penghalang untuk memulakan karier dalam bidang lakonan. Foto LOW BOON TAT

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Penerbit kontroversi Raja Azmi Raja Sulaiman tidak melihat usianya yang kini mencecah 57 tahun sebagai halangan untuknya mengembangkan karier dalam bidang lakonan.

Raja Azmi sebaliknya berkata, pada usia sekarang dia lebih yakin untuk mencuba perkara baharu dalam hidupnya malah tidak menyangka mampu melunaskan kepercayaan diberikan kepadanya dengan baik.

"Pada usia sekarang memang sudah terlambat untuk berlakon tetapi Alhamdulillah rezeki saya apabila dipanggil berlakon dan usia bukan halangan.

"Jika diikutkan sejarah sejak dahulu lagi ramai yang menawarkan tawaran berlakon tetapi saya tidak mahu kerana merasakan tiada bakat dalam lakonan.

Raja Azmi semakin seronok bergelar pelakon.

"Alhamdulillah selepas berlakon dalam drama bersiri Sha & Shah dan terbaharu Marhaban Kome Oi seronok pula dan berharap selepas ini dapat lebih banyak peluang," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Raja Azmi berkata, dia sebenarnya pertama kali berlakon menerusi drama terbitan Kuasatek Pictures Sdn. Bhd. pada 2009 iaitu Persona Grata disamping Haliza Misbun dan Hairie Othman.

Ketika itu penerbitnya, Mohd Noor Kadir mencabar dia untuk berlakon walaupun berkali-kali menolak permintaan tersebut.

"Saya memang tidak tahu berlakon tetapi apabila beberapa kali dicabar oleh Mohd Noor saya pun bersetuju dan itu adalah lakonan pertama dan terakhir.

"Bagiamanapun saya kembali dicabar oleh David Teo untuk berlakon dalam Sha & Shah pada tahun lalu dan sejak itu saya mula seronok berlakon," katanya.

Tambahnya, Kartina Aziz yang turut berlakon dalam drama bersiri berkenaan banyak memberi input dan menggalakannya untuk terus berlakon sebelum namanya dicadangkan kepada penerbit A. Aida untuk berlakon dalam Marhaban Kome Oi.

"Kebetulan A. Aida sedang mencari pelakon berasal dari Perak untuk berlakon dalam drama bersiri Marhaban Kome Oi dan Kartina mencadangkan nama saya.

"Saya gementar sebenarnya berlakon drama berkenaan kerana ia turut membariskan barisan pelakon terkenal lain seperti Fauziah Nawi, Delimawati dan Kartina sendiri.

"Alhamdulillah, drama berkenaan memberi banyak pengalaman baharu dan saya semakin 'gian' hendak berlakon," jelasnya.

Sementara itu, Raja Azmi berkata, dia ada mendapat tawaran daripada pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam untuk berlakon dalam drama bersiri Gerak Khas namun ia masih dalam peringkat perbincangan.

"Insya-Allah jika ada rezeki mungkin saya akan muncul dalam Gerak Khas tetapi masih belum ada hitam putih mengenainya dan sekadar tawaran mulut daripada Yusof," ujarnya.

Tags / Kata Kunci: Raja Azmi , Marhaban Kome Oi

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan