Eizlan Yusof Tonton Video Anak Ubati Kerinduan

Diterbitkan: Rabu, 24 Ogos 2016 1:30 PM

Eizlan Yusof bakal muncul dalam drama Lara Aishah.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pelakon Datuk Eizlan Yusof berkata, dia akan menonton video anak-anaknya yang dimuat naik di laman sosial Instagram setiap malam bagi mengubati kerinduan terhadap mereka.

Eizlan, 45, berkata, keletah anak-anaknya yang sedang membesar itu sering mencuit hati, malah mendapat perhatian pengikut laman sosial berkenaan setiap kali dimuat naik.

"Mereka sudah besar dan terlalu petah bercakap, sering mengusik-gusik membuatkan saya sentiasa tercuit hati untuk merakam aksi-aksi mereka.

"Saya tidak sangka apabila saya muat naik sahaja video mereka pasti banyak yang tonton dan menyukainya.

"Ada yang minta saya rakam untuk lihat keletah mereka lagi sehingga banyak video mereka sahaja di Instagram saya.

"Selain itu, video-video itu juga saya tonton semula setiap hari sebelum tidur untuk mengubati rindu terhadap mereka," ujarnya.

Pelakon itu ditemui pada majlis pelancaran drama Lara Aishah yang diadakan di Restoran Riyu-Lyn, di sini, Selasa.

Eizlan berkahwin dengan Vie Santie Harun, 30, berkahwin pada 7 Julai 2007 dan bercerai pada Februari 2015. Mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Vie Zaara, 8, Zareef Yusof, 6, dan Vie Zaalia, 3.

Dalam pada itu, Eizlan berkata, dia dan bekas isteri  tidak mempunyai sebarang masalah tentang penjagaan anak-anak selepas berpisah.

Eizlan bersama tiga cahaya matanya.

Kekerapan dia meluangkan waktu membuatkan ketiga-tiga anaknya tidak berasa kurangan kasih sayang seorang bapa sejak perpisahan yang berlaku lebih setahun itu.

"Kekerapan saya bertemu dan menghabiskan masa dengan anak-anak membuatkan mereka tidak rasa kehilangan selepas saya dan isteri berpisah, mereka hanya fikir saya keluar bekerja.

"Alhamdulillah, bekas isteri tidak pernah halang untuk saya jumpa anak-anak pada bila-bila masa sahaja, selalu dua hari sekali saya akan ambil mereka," ujarnya.

Sementara itu, ditanya tentang kehidupannya selepas berpisah, Eizlan berkata, dia sentiasa sibuk dengan kerja seharian.

Katanya, dia tidak berasa sunyi dan belum terfikir untuk mencari pengganti dalam masa terdekat.

"Saya berkawan dengan ramai wanita tetapi tidak ada yang istimewa kerana saya sibuk dengan urusan kerja dan sambung belajar di Universiti Utara Malaysia (UUM).

"Namun, bukan bermakna saya menutup pintu hati untuk berkahwin, jika ada jodoh untuk berumah tangga kembali saya terima," ujarnya.

Dalam pada itu, Eizlan yang membawakan watak sebagai Datuk Nazri memberitahu drama Lara Aishah mempunyai kelainan dari segi jalan ceritanya.

Katanya, drama tersebut juga memberi peluang kepada beberapa pelakon lama seperti Dian P Ramlee dan Jasmin Hamid untuk memeggang watak penting.

"Selalu pelakon-pelakon lama seperti kami hanya diberi watak sampingan sahaja tetapi dalam Lara Aishah ini kami diberi watak penting sebaris pelakon utama.

"Cerita ini sarat dengan mesej dan membuatkan penonton untuk mengetahui perjalanannya hingga episod akhir," ujarnya.

Drama tersebut akan ditayangkan bermula 29 Ogos ini dari Isnin hingga Jumaat, pukul 6 petang di Astro Prima dan Maya HD.

Tags / Kata Kunci: Eizlan Yusof , Lara Aishah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan