Khai Bahar Mohon Maaf Singgung Perasaan Rakyat Sarawak

Diterbitkan: Jumaat, 19 Ogos 2016 6:49 AM

Khai Bahar tidak bermaksud menghina negeri Sarawak.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Penyanyi Khai Bahar memohon maaf dengan kenyataannya bahawa negeri Sarawak tiada apa-apa ketika sesi temuramah di program Malaysia Hari Ini (WHI) pada Rabu lalu yang telah mengundang kemarahan segelintir rakyat negeri itu.

Khai atau nama sebenarnya Muhamad Khairul Baharudin, 22, berkata, kenyataan tersebut tidak membawa sebarang niat burut terutama menghina negeri tempat dia mencari rezeki selama lapan bulan itu.

"Saya minta maaf kepada masyarakat Sarawak yang tersinggung dengan kenyataan saya di dalam program temubual pada Rabu lalu.

"Maksud saya Sarawak tiada apa-apa adalah merujuk kepada saya tiada ahli keluarga yang menetap di sana bukan negeri itu tidak menarik.

"Saya sayangkan Sarawak dan kawan-kawan saya di sana semua sudah dianggap seperti keluarga sendiri," ujarnya.

Potongan video pendek yang disunting daripada program tersebut turut menjadi viral menimbulkan kemarahan masyarakat Sarawak yang tidak senang dengan kenyataan itu. 

 

Video yang menjadi viral di laman sosial.

Khai berkata, dia terkejut apabila menerima terlalu banyak mesej dan dihentam di laman sosial sejak pagi Khamis gara-gara perkara tersebut.

Tambah Khai, dia yang merancang untuk ke negeri itu minggu hadapan terpaksa menunda atas nasihat rakan-rakannya di sana.

"Saya terkejut pagi-pagi orang sudah viral dan marah-marah saya kerana perkara itu. Ada juga yang ugut untuk cederakan saya jika berada di negeri itu.

"Saya sepatutnya ke sana pada minggu depan, tapi rakan-rakan di sana tidak benarkan kerana bimbang tentang keselamatan. Insya-Allah jika sudah reda nanti saya tetap akan ke sana kerana saya rindu mereka semua," ujarnya. 

Sementara itu, Khai mengaku beberapa bulan menjadi artis membuatkan dia terpaksa belajar banyak perkara berkaitan industri dalam masa yang singkat.

Katanya, dia juga masih belajar untuk mengatasi gementar dan gugup ketika berhadapan dengan kamera. 

"Secara jujurnya saya terlalu gugup sehingga keluar ayat tidak lengkap dan tidak betul. Saya tidak pandai bercakap bila depan kamera kerana saya seorang yang pemalu.

"Tapi disebabkan terpaksa saya belajar untuk bercakap sedikit demi sedikit. Jika ada perkataan yang salah atau silap itu saya harap dimaafkan kerana saya kadang-kadang tidak bermaksud begitu," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Khai berkata dia kini muncul dengan single pertama berjudul Bayang ciptaan Harry (Khalifah).

Lagu tersebut semakin mendapat sambutan dan kini mendapat lebih 800,000 tontonan di YouTube. 

Tags / Kata Kunci: Khai Bahar

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan