Menteri Diminta Campur Tangan Selesaikan Kemelut FFM28

Diterbitkan: Rabu, 10 Ogos 2016 12:33 AM

Filem 'Ola Bola' yang mendapat kutipan Box Office dicalonkan dalam kategori filem Bukan Berbahasa Malaysia.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak diminta campur tangan bagi menyelesaikan kemelut dalam penganjuran Festival Filem Malaysia ke 28 (FFM28) yang akan berlangsung pada 3 September depan.

Presiden, Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim), Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, perkara itu amat perlu bagi memastikan segala perbalahan dan perbezaan pendapat sesama masyarakat seni dapat diselesaikan segera.

Dr Salleh Said Keruak.

"Isu ini menjadi semakin parah apabila tiada garis panduan yang jelas mengenai keputusan memperkenalkan kategori untuk karya berbahasa Malaysia dan bukan berbahasa Malaysia dalam FFM28 ini,” ujarnya kepada mStar Online.

Terdahulu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) mengumumkan terdapat perbezaan dalam penganjuran FFM kali ini apabila isu pengasingan karya berasaskan bahasa diperkenalkan.

Filem-filem seperti OlaBola, Jagat dan The Kid From The Big Apple tidak dicalonkan dalam kategori Filem Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Pengarah Terbaik.

Sebaliknya, filem-filem popular itu dicalonkan dalam kategori bukan Bahasa Malaysia untuk Filem Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Pengarah Terbaik.

Kemelut festival itu menjadi semakin hangat apabila terdapat seorang pengarah filem memulangkan semula trofi yang pernah dimenanginya sebelum ini dalam plastik sampah kepada Ketua Pengarah Finas, Datuk Kamil Othman pada sesi dialog Tanya Finas pada malam Isnin lalu.

Dalam pada itu Jurey berkata, pihaknya tidak dipanggil oleh Finas untuk membincangkan isu pengasingan katogeri itu sebelum ini bagi mendapatkan buah fikiran sebaliknya ia hanya melibatkan Persatuan Penerbit Filem (PFM) sahaja.

Jurey Latiff Rosli.

Katanya, disebabkan isu itu sudah menjadi parah, adalah menjadi tanggungajwab untuk menteri berkenaan mengeluarkan garis panduan dalam FFM supaya semua pihak jelas mengenai syarat yang diperkenalkan.

"Isu ini menjadi kalut apabila pelbagai tafsiran dan definasi ditimbulkan, mengenai isu pengasingan kategori berbahsa Malaysia dan bukan berbahasa Malaysia. Karyawan seni tak faham dengan isu itu dan kewajaran ia diperkenalkan.

"Jadi satu keputusan perlu dilakukan agar perkara ini tidak lagi dibangkitkan ataupun bagi memastikan tiada lagi pertelagahan berlaku," katanya.

Dalam pada itu Jurey berkata, ketika ini berlaku suasana tidak sihat apabila wujud pihak yang menyokong keputusan Finas itu dan ada pula kumpulan yang membantahnya sehingga timbul isu untuk memboikot festival tersebut.

Katannya, perkara itu tidak seharusnya berlaku dan ia sedikit sebanyak boleh menimbulkan pelbagai persepsi terhadap karyawan seni.
Tags / Kata Kunci: FFM28 , Festival FIlem Malaysia

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan