'Tiada Orang Lihat Pak Yus Sebagai Pelakon' - Sabri Yunus

Diterbitkan: Rabu, 27 Julai 2016 6:10 AM

Salah satu babak Allahyarham Pak Yus menerusi filem terakhirnya, Dukun Doktor Dani yang bakal ditayangkan di pawagam bermula 28 Julai ini. Foto Ihsan ASTRO SHAW

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pengarah Sabri Yunus berkata, dia berpuas hati dapat mencungkil sisi berbeza Allahyarham Pak Yus (Jambu) sebagai pelakon menerusi filem Dukun Doktor Dani sebelum pelawak itu meninggal dunia pada 30 November tahun lalu.

Sabri berkata, menerusi watak sebagai Chot dalam karya berkenaan, Pak Yus berjaya membuktikan dirinya bukan sahaja mampu melawak tetapi mempunyai potensi besar dalam melakonkan watak lebih serius.

"Saya mengenali arwah sejak dia menyertai musim pertama Raja Lawak dan saya lihat dia mempunyai potensi besar bukan sahaja sebagai pelawak tetapi pelakon.

"Saya ambil Pak Yus berlakon dalam filem ini kerana yakin ada sesuatu dalam dirinya yang belum pernah penonton lihat.

Filem Dukun Doktor Dani bakal menemui penonton di pawagam bermula 28 Julai. Foto MUHAMAD SHAHRIL ROSLI

"Tiada yang melihat dia sebagai seorang pelakon sebelum ini tetapi dalam Dukun Doktor Dani dia membuktikan dia bukan hanya pelawak," katanya kepada mStar Online.

Sabri ditemui pada majlis tayangan perdana Dukun Doktor Dani yang diadakan pada malam Isnin.

Selain Pak Yus, ia juga menampilkan barisan pelakon seperti Taufik Batisah, Fasha Sandha, Amerul Affendi, Raysha Risroze dan Khatijah Tan.

Ia bakal menemui penonton dipawagam bermula 28 Julai ini.

Pak Yus atau nama sebenarnya Yussry Edoo, 39, meninggal dunia akibat sesak nafas dan Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Nesam, Batu Pahat, Kangar, Perlis.

Taufik Batisah.

Dalam pada itu, Sabri berkata, dia terkejut komitmen ditunjukkan Pak Yus terhadap filem berkenaan selain menghafal setiap dialog diberikan.

"Sudah banyak kali saya bekerja dengannya termasuk dalam Karut Komedia, dia bukan jenis yang hafal dialog tetapi dalam Dukun Doktor Dani dia berbeza.

"Penghayatan diberikan juga cukup cantik tambahan pula dia mempunyai latar budaya yang sangat tinggi menjadikan watak Chot itu sesuai dengannya.

"Walaupun dia sudah tiada tetapi sebagai rakan dan pengarah saya bangga melihat hasil lakonannya di layar perak," ujarnya.

Bercakap lanjut mengenai filem pertamanya itu, Sabri berkata, idea menghasilkan naskah berkenaan sebenarnya sudah disimpan sejak tahun 1990-an namun ia tidak dapat direalisasikan kerana tidak yakin ada pihak menyukai ideanya itu.

Kata Sabri, dia memilih untuk mengetengahkan kisah mengenai dukun dan doktor kerana ia kisah ringkas yang senang dihadam oleh penonton namun banyak mesej yang boleh diketengahkan.

"Dukun dan doktor adalah lambang permusuhan pada satu ketika dahulu tetapi sebenarnya kedua-dua kerjaya ini mempunyai titik persamaan iaitu ingin menyembuhkan pesakit.

Fasha Sandha dan pelakon baharu Raysha Risroze turut membintangi filem Dukun Doktor Dani.

"Saya ingin tampil dengan sebuah filem ringkas tetapi mempunyai mesej mendalam kepada penonton," katanya.

Sementara itu, Sabri berkata, dia memilih Taufik sebagai bintang utama filem berkenaan kerana melihat penyanyi berasal dari Singapura itu sebagai seorang yang bijak.

Kata Sabri, dia tidak pernah mengenali Taufik sebelum ini namun tertarik dengan kebijaksanaan dan personalitinya ketika menjadi juri menerusi program Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM).

"Sebagai pengarah saya suka menampilkan wajah-wajah baharu bagi memberi suntikan segar pada karya saya.

"Taufik saya lihat dia seorang yang berpengetahuan ketika bertindak sebagai juri MLM dan itu kualiti baik yang perlu ada dalam diri seorang pelakon.

"Alhamdulillah percubaan pertamanya dalam Dukun Doktor Dani tidak mengecewakan dan gerak hati saya yang suka menjual 'barang' yang belum terjual ternyata berbaloi," katanya.

Tags / Kata Kunci: Dukun Doktor Dani , Sabri Yunus , Pak Yus

iklan

Video

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Kolumnis

iklan

Iklan