Elak Riyak, Yusof Haslam Rahsiakan Bonus Raya Pelakon

Diterbitkan: Isnin, 27 Jun 2016 5:00 AM

Tiga beranak daripada keluarga filem. Dari kiri Syamsul, Yusof Haslam dan Syafiq.

Yusof (tengah) bersama dua anaknya iaitu Syamsul (kiri) dan Syafiq Yusof.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penerbit filem Datuk Yusof Haslam mengambil pendekatan merahsiakan jumlah pembahagian bonus raya daripada pihak media yang diberikan untuk kakitangan dan pelakon bawak produksi miliknya iaitu Skop Production agar tidak dikatakan riyak.

Yusof atau nama sebenarnya Mohd Yusof  Md Haslam Khan, 62, berkata, pengagihan bonus tersebut disifatkan sebagai satu penghargaan peribadi beliau kepada mereka yang pernah sama-sama terlibat menaikkan produksi itu selama ia ditubuhkan.

"Cukuplah saya katakan ia satu jumlah yang besar berbanding pembahagian bonus raya pada tahun-tahun sudah dan ia sebagai tanda terima kasih saya bagi menghargai kesetiaan mereka yang tidak berbelah bahagi bersama produksi Skop Production selama ini.

"Tidak saya nafikan pertambahan kadar bonus pada kali ini didorong atas dasar kejayaan beberapa filem terbitan Skop Production sendiri sejak akhir-akhir ini antaranya filem Munafik yang mencetus fenomena tersendiri sehingga memecahkan rekod perfileman Malaysia dengan kutipan tertinggi sebanyak RM19 juta,” katanya kepada mStar Online.

Yusof  ditemui di majlis berbuka puasa dan pembahagian bonus Hari Raya di Finas Jumaat lalu.

Yusof Haslam(dua dari kiri) bersama barisan artis veteran.

Selain pelakon-pelakon dan kakitangan Skop Production, turut diraikan ialah pelajar-pelajar tahfiz seramai 40 orang.

Selain itu pihaknya turut menyediakan peruntukan raya untuk 40 buah badan kebajikan dan persatuan atas dasar ingin berkongsi rezeki bagi meringankan beban mereka yang memerlukan.

Dalam pada itu, Yusof berkata, filem Munafik 2 akan disambung penggambarannya pada September depan dan memberi jaminan karya arahan Syamsul Yusof itu akan lebih baik berbanding sebelumnya.

Malah kata Yusof, pihaknya tidak teragak-agak untuk melabur lebih bagi memastikan hasilnya nanti adalah yang terbaik untuk penonton.

“Pun begitu saya percaya kepada kredibiliti Syamsul namun tidak berani untuk memberi lebih harapan kepada sesuatu perkara yang belum terhasil.

"Apa yang mampu saya katakan, saya hanya mampu berharap sekuel Munafik kali ini lebih bagus dan lebih seram berbanding yang pertama,” katanya.

Tags / Kata Kunci: Yusof Haslam

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan