Rakan-Rakan Dikurniakan Anak Beri Tekanan Pada Marsha - Berita Hiburan | mStar

Rakan-Rakan Dikurniakan Anak Beri Tekanan Pada Marsha

Diterbitkan: Selasa, 21 Jun 2016 5:35 AM

Marsha berharap segera dikurniakan cahaya mata. Foto LOW BOON TAT

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Penyanyi Marsha Milan Londoh berasa tertekan apabila melihat rakan-rakannya sudah memiliki cahaya mata.

Marsha, 31, berkata, sebagai seorang wanita dia juga berharap agar segera menimang cahaya mata namun dia sedar rezeki anak itu di tangan Allah.

"Terus-terang saya katakan saya berharap akan hamil secepat mungkin kerana saya memang inginkan cahaya mata secepat mungkin.

"Melihat kepada rakan-rakan lain yang sudah mengandung atau pun mempunyai anak membuatkan saya rasa tertekan juga.

"Bagaimanapun ini semua rezeki daripada Allah. Jika dipercepatkan Alhamdulillah rezeki saya dan suami," katanya kepada mStar Online.

Marsha bersama suaminya, Mohamed Shaiful.
Marsha berkahwin dengan ahli perniagaan, Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail pada 31 Disember 2015 pada majlis yang diadakan di Pulau Pinang.

Dalam pada itu, bercakap sambutan bulan Ramadan pertamanya sebagai mualaf, Marsha berkata, dia tidak mengalami sebarang masalah kerana sudah biasa berpuasa sebelum ini.

Bagaimanapun kata Marsha, perasaan berpuasa itu berbeza pada tahun ini kerana ia hadir bersama rahmat dan pahala yang berlipat kali ganda.

"Alhamdulillah berpuasa tiada masalah sebab sudah terbiasa cuma ada rasa tersentuh kerana rahmatnya itu berbeza tambahan pula dapat menjalani ibadah itu bersama suami.

"Saya juga sempat mengikut suami berterawih dan ia pengalaman yang cukup berharga," katanya.

Sementara itu, Marsha berkata, dia bakal menyambut hari raya di kampung suaminya di Pulau Pinang selama seminggu sebelum kembali sibuk dengan aktiviti seninya.

Dia juga bakal menggalas tugas sebagai pengacara program baharu iaitu Sukan Tak Sentral di TV3 selain sibuk mempromosikan single, Sudah Ku Temui.

"Selain itu filem terbaharu saya iaitu Tujuh bakal berada di pawagam pada Oktober depan  manakala saya juga baharu sahaja dilantik sebagai duta produk suplemen kesihatan iaitu Beauxlim," katanya.
Tags / Kata Kunci: Marsha Milan Londoh , Tujuh
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan