Shah Rezza Bengang Sikap Diva Seorang Artis Lewat 2 Jam Ke Lokasi

Diterbitkan: Selasa, 7 Jun 2016 1:34 PM

Shah Rezza terkilan sikap artis tidak beri komitmen dengan kerjaya.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pelakon era 80-an, Datuk Seri Shah Rezza terkilan dengan sikap diva seorang artis yang membuatkan dia terpaksa menunggu selama dua jam untuk sebuah rakaman program Hari Raya yang diadakan pada Isnin.

Shah Rezza atau nama sebenarnya Raja Shah Zurin Raja Aman Shah, 55, berkata, sikap tidak berdisiplin artis itu membuatkan dia kecewa sehingga menyebabkan dia mengambil keputusan meninggalkan set penggambaran selain enggan terlibat dalam program bual bicara berkenaan.

"Semalam saya menunggu seorang artis selama dua jam di lokasi rakaman program bual bicara raya, akhirnya saya ambil keputusan untuk balik sahaja.

"Pihak produksi berjanji untuk mulakan rakaman awal dan saya sudah bersiap sedia, namun disebabkan artis tersebut tidak sampai, rakaman ditundakan sehinggalah hampir masuk waktu berbuka puasa," ujarnya kepada mStar Online

Shah Rezza memuji tindakan Aaron Aziz yang meminta maaf secara peribadi jika lewat ke lokasi penggambaran.

Shah Reza berkata, dia terkilan apabila artis tersebut juga tidak meminta maaf atau menjelaskan perkara yang berlaku atas kelewatannya.

Bagaimanapun, dia tidak mahu menyalahkan artis terbabit kerana kemungkinan dia mempunyai alasannya tersendiri.

"Sebelum ini saya ada berlakon dengan artis terkenal seperti Aaron Aziz dan jika dia lambat ke lokasi dia akan mesej saya secara peribadi untuk minta maaf kerana lewat.

"Itu adalah cara sebenar untuk menghormati orang lebih tua daripada kita, perkara ini saya sudah praktikkan ketika saya muda lagi. Pada saya perlu ada rasa hormat antara artis baru kepada artis lama," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Shah Reza berkata dia baharu selesai penggambaran siti terbaharu Tuan Anas Mikael  Raya yang bakal disiarkan sebanyak enam episod pada Hari Raya ini.

Dia yang memegang watak Pak Hamid iaitu seorang pengawal keselematan turut dipanjangkan peranannya berikutan mendapat sambutan penonton pada drama yang ditayangkan pada November tahun lalu itu.

"Alhamdulillah, watak saya masih ada dan diberi perhatian sedikit kerana watak tersebut antara yang mendapat sambutan pada siaran akhir tahun lalu.

"Drama Tuan Anas Mikael  Raya juga turut menampilkan beberapa pelakon terkenal seperti Erra Fazira dan Hans Isaac selain pelakon utama Aaron Aziz dan Zara Zya," ujarnya.

Tags / Kata Kunci: Shah Rezza

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan