Penerbit Upin & Ipin Tanggung Kerugian Besar

Diterbitkan: Khamis, 2 Jun 2016 5:45 AM

Sidang media filem Upin Ipin Jeng, Jeng, Jeng! dihadiri oleh (dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Ahmad Izham Omar, Presiden Eksekutif Kumpulan KRU, Datuk Norman Abdul Halim, Pengarah Urusan Les’ Copaque Production, Burhanuddin Md Radzi, Ketua Pengarah Finas, Datuk Kamil Othman dan Pengarah Kandungan Kreatif dan Teknologi (MDEC), Hasnul Hadi Samsudin.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penerbit filem Upin Ipin Jeng, Jeng, Jeng! terpaksa menanggung kerugian besar apabila naskhah berkenaan yang telah siap dihasilkan tiga tahun lalu terpaksa menjalani penggambaran semula.

Pengarah Urusan Les’ Copaque Production, Burhanuddin Md Radzi berkata, tindakan itu terpaksa diambil kerana dia tidak berpuas hati dengan hasil akhir karya berkenaan yang mempunyai banyak kelemahan daripada pelbagai aspek termasuk pengarahan, persembahan pelakon dan masalah teknikal.

"Filem ini sebenarnya telah siap pada 2013 tetapi kami terpaksa buang semua dan mula menghasilkannya daripada awal kerana terlalu banyak kelemahan yang tidak menepati piawaian.

"Selain masalah teknikal kami mengambil keputusan itu kerana kelemahan pengarah yang gagal mengikut skrip ditetapkan selain pelakon yang tidak sesuai.

"Sudah tentu pihak kami mengalami kerugian besar daripada tindakan itu tetapi tidak mengapa kerana Les' Copaque Production berazam ingin memberikan terbaik kepada penonton memandangkan Upin Ipin adalah jenama besar dan tidak boleh ada sebarang kesilapan," katanya.

Burhanuddin berkata demikian ketika sidang media pelancaran filem berkenaan di Aloft Kuala Lumpur di sini, Rabu.

Pelakon cilik berbakat besar, Puteri Balqis memegang peranan utama.

Bagaimanapun Burhanuddin enggan mendedahkan jumlah kerugian termasuk pengarah dan pelakon yang terlibat ketika penggmbaran pertama filem itu.

Bagi versi terbaharu Upin Ipin Jeng, Jeng, Jeng!, ia menampilkan Asyiela Putri, pemilik suara asal watak utama Upin & Ipin, Puteri Balqis, Awie, Sara Ali, Gambit serta Remy Ishak.

Filem yang menelan kos penerbitan mencecah RM4 juta itu mendapat pembiayaan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) bawah Dana Kesan Khas (CGI).

Dalam pada itu, Burhanuddin berkata, untuk filem Upin Ipin Jeng, Jeng, Jeng ini pihaknya memilih Erma Fatima sebagai pengarah selain mengekalkan Pengarah Kandungan Kreatif Les Copaque Production, Ainon Ariff bagi mengarahkan bahagian animasi naskhah tersebut.

Jelasnya, meskipun Erma kali pertama terlibat dalam pengarahan filem yang menggabungkan teknik animasi 3 Dimensi (3D) dan lakonan hidup namun pihaknya berpuas hati dengan kerja dilakukan oleh wanita itu.

"Untuk versi terbaharu ini kami turut mengolah semula skrip hasil daripada bedah siasat terhadap hasil yang pertama dan Erma berjaya merialisasikan apa yang kami mahukan.

Watak Upin Ipin menjadi fenomena dan menjadi kegilaan kanak-kanak.

"Ada beberapa kelompongan tetapi Insya-Allah ia boleh diperbaiki dengan teknik CGI dan setakat ini semuanya berjalan lancar," jelasnya.

Tambah Burhanuddin, penggambaran kedua filem itu berlangsung pada Oktober 2014 dan hanya mengekalkan Asyiela Putri, pemilik suara asal watak utama Upin & Ipin, Puteri Balqis dan Awie.

"Kami agak lewat untuk memulakan penggambaran kerana menunggu jadual Awie selain melakukan pengubahsuaian kepada beberapa aspek filem itu agar lebih kemas," katanya.

Sementara itu, Burhanuddin berkata, Upin Ipin Jeng, Jeng, Jeng! merupakan filem animasi Malaysia pertama yang menggabungkan teknik animasi 3D dan lakonan hidup.

Ia turut mendapat kerjasama daripada Primeworks Distribution selaku pengedar rasmi filem ini selain  sokongan penuh daripada Pengarah Kandungan Kreatif dan Teknologi (MDEC), yang sentiasa menginginkan animasi sebagai penanda aras baru dalam landskap teknologi.

"Filem ini mencipta sejarah dalam industri perfileman tempatan dengan menggunakan teknik penerapan teknologi komputer grafik yang menggabungkan watak animasi dan watak manusia.

Peminat-peminat Upin Ipin bakal menyaksikan buat pertama kalinya watak kembar kesayangan mereka muncul secara nyata dan berinteraksi dengan karakter manusia," katanya.

Upin Ipin Jeng, Jeng, Jeng! yang diterbitkan secara usahasama antara Les Copaque Productions dan KRU Studios ini bakal ditayangkan di seluruh Malaysia dan Indonesia pada November 2016 nanti.

Tags / Kata Kunci: Upin Ipin Jeng , Jeng , Jeng!

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan