Syamsul Yusof Dapat Keyakinan Ceburi Bidang Muzik Selepas Empat Tahun

Diterbitkan: Rabu, 25 Mei 2016 1:05 PM

Syamsul pendam hasrat berkolaborasi dengan Najwa Latif.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengarah dan pelakon Syamsul Yusof baharu mendapat keyakinannya untuk menceburi bidang muzik selepas empat tahun mencipta lagu secara diam-diam.

Bagaimanapun, Syamsul, 32, berkata, dia tidak merasakan dirinya sudah terlambat untuk bersaing dalam bidang berkenaan.

"Saya mula berjinak-jinak mencipta lagu sejak empat tahun lalu, tapi saya malu dan tidak berkeyakinan untuk membuatnya secara serius.

"Saya juga tidak merasakan bahawa saya sudah terlambat untuk meneruskan bidang nyanyian ini, sebaliknya sekarang adalah masa paling sesuai untuk saya serius," ujarnya kepadamStar Online.

Syamsul berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran klip video dan lagu Kalah Dalam Menang yang diadakan di Pavillion, di sini, petang Selasa.

Dia lebih bersemangat untuk meneruskan bidang pengubahan dan nyanyian selepas lagu tema filem Munafik itu mendapat sambutan menggalakkan.

Syamsul berkata, dia juga merancang untuk bekerjasama dengan beberapa artis tempatan untuk menghasilkan lagu-lagu tema filem terbitan Skop Production Sdn Bhd.

Syamsul (kanan) kini melakukan kolaborasi bersama Mawi.

"Alhamdulillah, saya tidak sangka Kalah Dalam Menang dapat sambutan hangat dan dimainkan kerap kali di radio-radio tempatan. Sebelum ini saya pernah cuba buat lagu tema filem Khurafat dahulu dan hantar di radio tapi tidak dimainkan.

"Mungkin juga lagu tersebut tidak diterima kerana tidak menepati apa yang radio dan trend muzik semasa. Selepas ini saya akan terus mencipta lagu untuk filem-filem terbitan Skop Production sendiri," ujarnya.

Tambah Syamsul, setakat ini dia sudah mempunyai lebih 10 buah lagu dalam koleksi simpanannya untuk dirakam semula.

Dia juga bakal memasuki studio bagi merakam lagu terbaharu yang juga bersama Mawi minggu depan.

"Mawi adalah penyanyi paling sesuai dengan lagu-lagu ciptaan saya kerana kebanyakkan lagu saya adalah tentang ketuhanan.

"Lagu yang saya akan rakam minggu depan juga bersama Mawi tapi setakat ini belum ada judul yang sesuai. Insya-Allah selepas Mawi saya berhasrat untuk berkolaborasi dengan penyanyi Najwa Latif," ujarnya.

  

Tags / Kata Kunci: Syamsul Yusof , Mawi

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan