'Kereta Kita' Drama Terbaik ASA2016 Kerana Proton Saga

Diterbitkan: Isnin, 23 Mei 2016 5:30 AM

Drama Kereta Kita arahan Feroz Kadir berjaya memenangi kategori Drama TV Terbaik dan Pengarah Drama Terbaik. Foto ROHAIZAT MD DARUS

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengarah Feroz Kadir menyifatkan drama arahannya berjudul Kereta Kita menjadi pilihan juri Anugerah Seri Angkasa 2016 (ASA2016) berikutan mesej yang mengimbau semula zaman kegemilangan kereta pertama buatan Malaysia iaitu Proton Saga.

Feroz berkata, drama tersebut juga sarat dengan mesej kekeluargaan yang mungkin menjadi perhatian juri ASA2016.

"Kesemua drama yang tercalon mempunyai kelebihan tersendiri dan mungkin Kereta Kita dipilih kerana mesej kekeluargaan iaitu antara ayah dan anak.

"Selain itu, Kereta Kita juga mengimbau semula kenangan kereta buatan Malaysia iaitu Proton Saga yang mana semakin dilupai terutama golongan muda," ujarnya kepada mStar Online.

Feroz berkata demikian ketika ditemui selepas ASA2016 yang diadakan di Auditorium Perdana Angkasapuri, di sini, malam Sabtu.

Pada majlis tersebut Feroz turut diumum sebagai Pengarah Drama TV Terbaik.

Sementara itu, ditanya tentang perasaannya, Feroz berkata, dia masih terkejut dan tidak menjangka dipilih sebagai pemenang.

"Saya tidak menjangka akan menang kerana empat calon lain hebat-hebat. Bagi saya sudah tercalon ini sudah cukup baik.

"Sebagai pengarah, saya tidak pernah menyasarkan untuk menang sebaliknya memberikan yang terbaik dalam setiap produk yang dihasilkan.

"Selain itu, sesuatu drama yang baik itu juga bukan kerana pengarah semata-mata, sebaliknya kesemua pihak yang terlibat," ujarnya.

Selain itu, pada malam ASA2016 turut memilih Fauziah Ahmad Daud dan Nasir Bilal Khan sebagai Pelakon Drama TV Wanita Terbaik dan Pelakon Drama TV Lelaki Terbaik menerusi drama Harus Terpisah.

Sementara itu, Drama TV Bersiri Terbaik dimenangi drama berjudul Wadi arahan Heykal Hanifah.

Tags / Kata Kunci: Kereta Kita , ASA2016

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan