RTM Terima 756 Pencalonan Untuk Anugerah Seri Angkasa 2016

Diterbitkan: Rabu, 4 Mei 2016 5:30 AM

Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad (empat dari kiri) bersama mereka yang terlibat dalam Anugerah Seri Angkasa 2016 bersama trofi anugerah itu. Foto S.S.KANESAN

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sebanyak 756 borang pencalonan diterima daripada stesen penyiaran kerajaan dan sewasta oleh urusetia penganjuran Anugerah Seri Angkasa untuk dinilai dalam pencalonan anugerah itu tahun ini.

Pengarah Bahagian Program TV RTM, Norliza Mohd Ali berkata, daripada jumlah itu RTM mencatat jumlah penyertaan tertinggi iaitu 294 pencalonan bagi 38 kategori TV dan 19 kategori radio.

Manakala Astro pula menghantar 227 pencalonan diikuti Media Prima dengan 159 pencalonan.

"TV Al Hijrah pula menghantar 14 pencalonan dan selebihnya iaitu 52 pencalonan daripada Suria FM, Ikim FM, 988 FM, Best FM, Bernama Radio dan IM4U FM.

"Bagaimanapun daripada jumlah keseluruhan itu hanya 701 pencalonan diterima manakala 55 ditolak kerana tidak memenuhi syarat penyertaan," katanya kepada mStar Online.

ASA 2016 bakal berlangsung selama dua hari berturut-turut iaitu pada 20 dan 21 Mei ini di Auditorium Perdana, Angkasapuri.

Antara hos Anugerah Seri Angkasa 2016 iaitu Muaz (dari kiri) Nana Mahazan dan Adibah Noor.
Ia bakal disiarkan secara langsung menerusi TV1 pada pukul 9 malam.

Manakala malam kemuncak ASA 2016 turut disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria dan Ria HD, Tonton serta Suria FM.

ASA 2016 yang bakal menampilkan Adibah Noor, Nana Mahzan, Muaz Mohamad dan Terence Dass sebagai hos itu pertama kali diadakan selepas kali terakhir berlangsung pada 2010.

Dalam pada itu, sebanyak 57 kategori bakal dipertandingkan dan daripada jumlah itu 38 daripadanya adalah menerusi kategori melibatkan TV manakala selebihnya kategori radio.

"Alhamdulillah selepas lima tahun ASA tidak diadakan namun penganjuran pada kali ini pihak kami mendapat banyak pencalonan daripada semua stesen dan kami melihat ia sebagai satu permulaan baik untuk ASA 2016.

"Ini menunjukkan semua stesen di negara ini komited dalam memberi pengiktirafan kepada industri kreatif untuk sebuah acara berprestij," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Norliza berkata, setiap kategori dipertandingkan seratus peratus akan diadili oleh juri profesional yang terdiri daripada ahli akademik, penggiat seni dan karyawan.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad yang turut hadir ke sidang media berkenaan berkata, pihaknya berbesar hati dengan kerjasama ditunjukkan oleh semua stesen di negara ini dalam memastikan ASA 2016 berjaya dilaksanakan.

Malah pihaknya akan memastikan ASA sekurang-kurangnya akan diadakan sekali dalam dua tahun kerana kementerian itu komited terhadap perkembangan industri kreatif di negara ini.

"ASA adalah sebuah anugerah cukup berprestij dan seboleh-bolehnya kita tidak mahu ia diadakan lima atau 10 tahun sekali.

"Kementerian tidak mahu pihak luar menganggap kita tidak serius dan saya akan memastikan ia adalah sebuah acara dinanti-nantikan dan sekurang-kurangnya ia diadakan dua tahun sekali," jelasnya.

ASA 2016 diadakan bagi memartabatkan penggiat seni kreatif penyiaran tanah air termasuk penganal penyiaran, kru penerbitan dan siaran, penerbit, juruhebah, penyampai dan kru teknikal.

Antara kategori yang bakal dipertandingkan adalah Drama TV Terbaik, Pengarah Drama TV Terbaik, Skrip Drama Terbaik, Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik, Promo TV Terbaik, Suntingan Rancangan Terbaik dan Hiburan Muzikal TV Terbaik.

Manakala untuk kategori radio ialah DJ Radio Lelaki dan Wanita Terbaik, Drama Radio Terbaik, Majalah Radio Terbaik, Rancangan Interaktif Radio Terbaik, Liputan Radio Terbaik, Promo Radio Terbaik dan Dokumentari Radio Terbaik.

Dua kategori khas iaitu Anugerah Juri dan Anugerah Tokoh Seri Angkasa bakal diberikan pada malam itu.
Tags / Kata Kunci: ASA2016 , Anugerah Seri Angkasa

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan