"Hanya Masalah Dalaman Di Zizan Mart" - Zizan Razak

Diterbitkan: Selasa, 26 April 2016 6:10 AM

Zizan Razak

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pelakon Zizan Razak menyangkal dakwaan kononnya operasi kedai serbaneka 24 jam miliknya iaitu Zizan Mart telah pun diberhentikan sepenuhnya.

Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak, 32, sebaliknya berkata, kedai yang terletak di Kota Bahru, Kelantan itu hanya ditutup buat sementara waktu kerana mengalami beberapa masalah yang tidak dapat didedahkan.

"Tidak benar Zizan Mart gulung tikar tetapi sebaliknya hanya ditutup buat sementara waktu sahaja.

"Bagaimanapun saya tidak boleh mendedahkan di sini punca keadaan itu tetapi ada beberapa masalah yang timbul," katanya kepada mStar Online.

Zizan ditemui pada sidang media memperkenalkan pengacara Anugerah Bintang Popular Berita Harian 29 (ABPBH 29) di sini, Isnin.

Pelawak itu turut bergandingan dengan aktres Mira Filzah dan penyampai radio, Haiza serta AG.

Zizan Razak

ABPBH 29 bakal berlangsung pada 8 Mei depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dekat sini.

Dalam pada itu, Zizan berkata, dia masih belum berkesempatan bertemu dengan pihak pengurusan Zizan Mart untuk menyelesaikan masalah yang timbul kerana sibuk dengan penggambaran filem Bikers Kental 2 di Phuket, Thailand.

Bagaimanapun kata Zizan, sebagai Pengarah Urusan Zizan Group Sdn Bhd dia akan memastikan segala isu yang timbul akan diselesaikan dengan kadar segera bagi membolehkan kedai serbaneka itu kembali beroperasi.

Untuk rekod, Zizan Mart mula beroperasi pada 18 Ogos tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, Zizan berkata, dia kini lebih selektif terhadap tawaran diberikan kerana ingin menjaga kualiti kerja agar penampilannya dalam sesebuah program atau filem dapat meninggalkan kesan kepada penonton.

Malah kata Zizan, dia kini lebih peka terhadap jadual kerjayanya dan mahu ia lebih tersusun agar tidak menimbulkan masalah pada masa hadapan.

"Saya sudah agak lama dalam industri hiburan dan saya tidak mahu sering melakukan perkara sama. Atas sebab itu saya lebih selektif.

"Malah saya kini lebih peka dengan jadual kerana tidak mahu terkejar-kejar seperti sebelum ini sehingga menjejaskan persembahan dalam sesuatu projek," ujarnya.

Ditanya pula soal kahwin, Zizan dengan ringkas memberitahu ia bukan keutamaannya buat masa ini dan ingin fokus kepada kerjaya.

"Kahwin nanti dahulu kerana tumpuan saya terhadap kerja sekarang ini," ujarnya.
Tags / Kata Kunci: Zizan Razak

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan