Peniaga Ayam Goreng Juara Karaoke Tangkap Leleh DJ Lin

Diterbitkan: Isnin, 11 April 2016 11:33 AM

Syarifah Nazuratulazman membawa pulang wang tunai RM1,000 selepeas memenangi pertandingan karaoke. FOTO: ROHAIZAT MD DARUS

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Peniaga ayam goreng iaitu Syarifah Nazuratulazman  dipilih sebagai juara peringkat akhir 'Pertandingan Karaoke Tangkap Leleh Bersama DJ Lin' yang berlangsung di Pusat Karaoke Red Box, The Garden, di sini, Ahad.

Syarifah Nazuratulazma atau nama sebenarnya Syarifah Nazuratulazma Bt Syed Alias, 29, menewaskan tiga peserta lain menerusi dua buah lagu iaitu 'Jagalah Diri' nyanyian asal Jaclyn Victor (lagu pilhan sendiri) dan sebuah lagu berdasarkan cabutan undian, 'Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu' (Ramlah Ram).

“Saya percaya kemenangan pada hari ini adalah kerana lagu yang dipilih menerusi cabutan undian yang memperlihatkan kekuatan vokal saya sebenar berbanding  lagu pilihan saya sendiri, ‘Jagalah Diri' nyanyian asal Jaclyn Victor.

“Saat mendapat lagu ‘Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu’, saya begitu takut dan berdebar skerana tidak pernah 'lepas' menyanyikan lagu tersebut di mana-mana pusat karaoke sebelum ini.

Dari kiri (depan) pemenang kedua iaitu, Mohd Zhafri, Syarifah Nazuratulazman (juara) dan Zaihanee (tempat ketiga). Turut kelihatan ialah pengasas Dnars iaitu Faziani Rohban (dari kiri belakang), Ahmad Shahrizal  dan Dr Mohd Aminuddin.
"Namun saya cuba mengambilnya sebagai satu cabaran sekalipun kesihatan kurang mengizinkan pada hari ini,” ujarnya yang baru sebulan membuka perniagaan ayam goreng RM1 di Bandar Kinrara, Puchong.

Katanya lagi, sebelum ini dia jarang menyertai mana-mana pertandingan nyanyian selain hanya menyanyi untuk menghiburkan hati sendiri di pusat-pusat karaoke dan kenduri kahwin sahaja.

Dalam program yang diacarakan oleh DJ Lin itu, Syarifah membawa pulang Wang Tunai sebanyak RM1,000 berserta Piala dan barangan eksklusif Dnars selain turut memenangi kategori pakaian dan persembahan terbaik.

Tempat kedua menjadi milik Mohd Zhafri menerusi lagu 'Sedetik Lebih' (Anuar Zain) dan ‘Mimpi Yang Tak Sudah’ (Ibnor Reza) yang sekali gus membolehkannya membawa pulang wang tunai RM700 beserta piala dan barangan ekslusif Dnars.

Manakala tempat ketiga menjadi milik Zaihanee yang menyanyikan lagu 'Setiaku Di Sini' (Ziana Zain) dan 'Tiada Lagi' (Mayang Sari).

Zaihanee membawa pulang wang tunai sebanyak RM500 beserta piala dan barangan eksklusif Dnars.

Peserta dan mereka yang terlibat dalam pertandingan karaoke tangkap leleh bersama DJ Lin.
Juri pada pertandingan itu ialah pengasas produk kosmetik Dnars iaitu Faziani Rohban dan suami, Ahmad Shahrizal serta Pengerusi Star Radio Group, Datuk Dr Mohd Aminuddin Mohd Rouse.

Acara turut diserikan lagi dengan persembahan artis-artis jemputan antaranya Shima, Syamel, Indah Ruhaila dan Farawahida.

’Pertandingan Karaoke Tangkap Leleh Bersama DJ Lin' sebelum ini telah dibuat secara saringan selama empat minggu di Red Box, The Garden dalam memilih empat juara mingguan untuk bertanding di peringkat akhir.

Pemilihan peserta dicungkil menerusi sesi uji bakat yang dibuat melalui slot khas segmen Suria Cinta kelolaan DJ Lin bermula 22 Febuari lalu.

Segmen itu keudara pada dari pukul 8 malam sehingga 1 pagi, setiap Ahad sehingga Jumaat.
Tags / Kata Kunci: DJ Lin , Suria Cinta

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan