Azlan & The Typewriter Tidak Rancang Konsert Besar

Diterbitkan: Jumaat, 8 April 2016 5:30 AM

Azlan & The Typewriter bakal mengadakan tiga konsert mini untuk peminat di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, Melaka dan Kota Kinabalu, Sabah.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kumpulan Azlan & The Typewriter tidak berhasrat untuk mengadakan sebuah konsert berskala besar seperti mana dilakukan beberapa band rock lain sebelum ini.

Vokalis kumpulan itu, Azlan atau nama sebenarnya Nor Azlan Rosle, 34, berkata, masih terlalu awal untuk mereka berbuat demikian memandangkan perjalanan karier mereka masih lagi panjang.

"Setiap penyanyi mengimpikan untuk mengadakan sebuah konsert tetapi pada saya untuk Azlan & The Typewriter masih belum tiba waktunya untuk kami mengadakan konsert berskal besar.

"Kami simpan dahulu hasrat tersebut tambahan pula kehadiran kami dalam industri muzik belum pun mencapai usia 10 tahun," katanya kepada mStar Online.

Azlan & The Typewriter bakal mengadakan konsert mini di tiga lokasi Hard Rock Cafe iaitu Kuala Lumpur, Melaka dan Kota Kinabalu.

Persembahan yang diberi nama Rock & Roll : Azlan & The Typewriter di HRC Kuala Lumpur akan diadakan pada 24 April depan pada pukul 9 malam manakala tarikh konsert di dua lokasi lagi masih belum diputuskan.

Dalam pada itu, Azlan berkata, persembahan tersebut diadakan untuk menghargai jasa peminat yang banyak menyokong karier mereka sejak kumpulan itu ditubuhkan pada tahun 2009.

Malah katanya, sebagai kejutan, mereka akan melancarkan single terbaharu secara eksklusif pada konsert mini pertama itu nanti.

"Kami mahu mengadakan sebuah persembahan yang tidak terlalu besar selain dapat berada dekat dengan peminat dan sebab itu kami memilih Hard Rock Cafe.

"Single baharu kami turut dilancarkan pada hari tersebut tetapi judulnya kami rahsiakan terlebih dahulu dan hanya akan diketahui pada konsert itu nanti," ujarnya.

Tambah Azlan, konsert mini itu nanti bakal memperlihatkan mereka mempersembahkan rangkaian lagu terbaik kumpulan itu selain lagu baharu.

Dalam perkembangan lain, Azlan berkata, album terbaharu Azlan & The Typewriter bakal dilancarkan pada tahun ini dan ia masih dalam proses pembikinan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan