Memukau, Konsert Lima Bintang Siti Nurhaliza Sebelum Berehat Panjang

Diterbitkan: Ahad, 3 April 2016 7:00 AM

Siti Nurhaliza sekali lagi melakar sejarah tersendiri dengan kejayaan 'Konsert Dato Siti Nurhaliza & Friends' yang diadakan di Stadium Negara, malam Sabtu.FOTO THE STAR - AZLINA BT ABDULLAH

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR:  Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza sekali lagi melakar sejarah tersendiri dengan kejayaan 'Konsert Dato Siti Nurhaliza & Friends' yang berlangsung di Stadium Negara, di sini, pada Sabtu selain disifatkan sebagai sebuah persembahan bertaraf lima bintang.

Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Taruddin, 37, berkata, konsert yang mendapat tajaan Yonder Music dan Xpax (Celcom) itu amat bermakna buat dirinya kerana ia adalah satu-satunya konsert yang menggabungkan tiga segmen muzik yang berbeza dalam satu masa.

“Saya memang all out untuk konsert ini kerana ia sebuah konsert yang mengiktiraf 20 tahun penglibatan saya sebagai anak seni. Di satu sisi, ini juga adalah konsert yang ke-30 pernah saya jayakan.

Anggun turut menjadi salah seorang penyanyi undangan pada konsert tersebut.

"Konsert ini saya sifatkan istimewa kerana menggabungkan tiga segmen muzik dalam satu masa iaitu  segmen akustik, band dan orkestra.

“Saya berterima kasih dengan penglibatan rakan-rakan artis dan pemuzik-pemuzik profesional antaranya 40 pemuzik orkestra dan band The Ghotham All Stars yang dibawakan khas dari New York yang sama-sama mendokong konsert ini sehingga ia dilihat berjalan lancar seperti apa yang dirancang,” katanya kepada mStar Online.

Turut sama dalam konsert itu ialah Anggun, Cakra Khan, Afgan, Hafiz Suip dan Faizal Tahir.

Menerusi konsert berdurasi lebih dua jam itu, Siti membawakan hampir 20 buah lagu di mana menerusi segment akustik, Siti menyampaiakan rangkaian lagu keramatnya seperti Aku Cinta Padamu, Percayalah, Jaga Dia Untukku dan Terbaik Bagi Mu secara solo.


Penyanyi Indonesia Afgan berduet bersama Siti Nurhaliza dengan lagu Biarlah Rahsia.

Pentas persembahan semakin bertenaga dengan paduan persembahan bersama Joe Flizzow dan SonaOne menerusi lagu Ku Mahu dan Ku Milikmu menerusi segment bersama band.

Penyanyi Anggun seterusnya memanaskan suasana menerusi lagu Snow On The Sahara dan Bukan Cinta Biasa yang dinyanyikan secara duet bersama Siti.

Mengakhiri segmen band, Siti menyampaikan lagu Cindai yang diberi nafas baru, namun cukup mesra telinga.

Siti terus memukau ribuan penonton dengan vokal mantapnya saat menyampaikan sebuah lagu Inggeris berjudul Memories di segmen orkestra.

Lagu yang disampaikan secara 'duet digital' bersama idolanya mendiang Whitney Houston amat terkesan diingatan penonton.

Joe Flizzow turut berkongsi pentas dengan Siti Nurhaliza dengan lagu Ku Mahu dan Ku Milikmu.

Memories merupakan lagu Whitney Houston yang belum sempat dikeluarkan sebelum kematiannya dan diberikan kepada Siti dengan bantuan pihak Yonder Music untuk terus diangkat ke persada antarabangsa dalam waktu terdekat ini.

Tidak terhenti di situ, sorakan padu penonton terus menggegarkan isi ruang Stadium Negara apabila Siti tampil dengan beberapa buah lagu duet bersama artis-artis lelaki popular antaranya Hafiz (Muara Hati), Cakra Khan (Seluruh Cinta) Faizal Tahir (Bagaikan Sakti) dan Afgan (Biarlah Rahsia).

Selain turut menyampaikan sebuah lagu yang pernah menaikkan namanya 20 tahun lalu Jerat Percintaan sebagai lagu tribute untuk komposer Allahyarham Adnan Abu Hassan.

Cakra Khan turut membuat persembahan.

Masih dalam segmen yang sama, Siti tidak mengecewakan penonton dengan mengalunkan lagu-lagu kegemaran para peminatnya seperti Seindah Biasa, Kau Sangat Bererti, Menatap Dalam Mimpi dan Lebih Indah dengan penuh bertenaga.

Acara kemuncak konsert diserikan dengan nyanyian beramai-ramai dari semua artis yang terlibat menerusi lagu Kau Ilhamku.

Dalam perkembangan lain, Siti mengakui selepas menjayakan 'Konsert Dato Siti Nurhaliza & Friends', dia akan berehat panjang dari dunia seni dan bercadang untuk bercuti bersama suami di suatu lokasi yang masih dirahsiakan.

Tags / Kata Kunci: Siti Nurhaliza

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan