Peserta Dari Sabah, Rosario Juara Bintang RTM 2016

Diterbitkan: Sabtu, 2 April 2016 11:12 PM

Rosario Ninih Chamini Bianis (tengah) muncul sebagai juara pertandingan akhir Bintang RTM 2016 (BRTM) 2016 - Foto The Star FAIHAN GHANI

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Peserta kelahiran negeri Sabah, Rosario Ninih Chamini Bianis, 21, muncul sebagai juara pertandingan akhir Bintang RTM 2016 (BRTM) 2016 pada pertandingan yang berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri di sini, Sabtu.

Dengan kemenangan tersebut melayakkan Rosario berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM20,000 dan pakej percutian ke Korea selama lima hari dan empat malam.

Rosario turut membawa pulang trofi Vokal Terbaik dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000.

Pada peringkat akhir itu, Rosario menyampaikan lagu nyanyian asal Leona Lewis berjudul Run pada segmen solo dan Beribu Sesalan duet bersama bekas juara BRTM 2009 iaitu Ernie.



Tempat kedua pula jatuh kepada Nor Fazrina Mohd Gani, 23, dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM15,000 berserta pakej percutian ke Bali, Indonesia selama empat hari tiga malam.

Fazrina atau Eryn turut diumumkan sebagai pemenang kategori Persembahan Terbaik dan menerima hadiah wang tunai RM5,000.

Manakala Nur Shafreeza Zainal Abidin, 22, terpaksa berpuas hati di tempat ketiga dan menerima hadiah wang tunai RM10,000 dan pakej percutian ke Jakarta, Indonesia.

Manakala tiga peserta lain iaitu Idris Zulkifli, 19, Muhammad Hafiz Ismail, 23, dan Muhammad Adib Ibrahim, 24, turut menerima hadiah saguhati berupa wang tunai berjumlah RM1,000 dan pakej penginapan di Hard Rock Hotel.

Kesemua hadiah wang tunai adalah sumbangan RTM manakala pakej percutian tajaan My Centrio Holidays.

Hadiah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad.

Dalam pada itu, Rosario ketika ditemui berkata, dia tidak menyangka dengan kemenangan berkenaan memandangkan persaingan sengit daripada peserta lain.



Bagaimanapun dia menganggap trofi kemenangan tersebut sebagai rezekinya dan berharap karier nyanyiannya akan terus berkembang selepas ini.

"Setiap peserta ada kelebihan masing-masing dan sesiapa di antara kami layak menerima trofi juara.

"Syukur ia milik saya walaupun langsung tidak menjangkakan kemenangan ini," katanya.

Pada peringkat akhir itu, kesemua peserta BRTM 2016 diberikan dua tugasan iaitu menyanyikan lagu secara solo dan duet bersama bekas bintang kelahiran program tersebut.



Enam juri profesional yang mengadili BRTM 2016 ialah Datuk Mokhzani Ismail (ketua juri), Edrie Hashim, Helen Yap, Fauziah Latiff dan Ajai.Penyampai radio Nasional FM, Muazanazzudin Mohamed (Muaz) dan pelakon Amyra Rosli bertindak sebagai pengacara pada malam itu.

Pertandingan itu turut diserikan dengan persembahan istimewa daripada Ramlah Ram, Rohana Jalil, Noraniza Idris, Lan Kristal dan Dia Fadilla.

BRTM 2016 turut disiarkan secara langsung menerusi TV2 pada pukul 9 malam.

Tags / Kata Kunci: Bintang RTM , Juara , Rosario

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan