Remy Ishak Terus Sabar, Tiada Khabar Positif Kehilangan Kereta

Diterbitkan: Selasa, 22 Mac 2016 1:33 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pelakon Remy Ishak belum menerima apa-apa perkembangan positif mengenai kehilangan keretanya walaupun sudah seminggu kejadian itu berlaku.

Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimie Ishak, 34, berkata setakat  ini dia sudah menerima beberapa maklumat daripada orang ramai yang disalurkan melalui pembantu peribadinya mengenai kereta itu dan perkara berkenaan sudahpun dimaklumkan kepada pihak polis.

"Setakat ini masih belum ada apa-apa perkembangan lagi dan saya berterima kasih kepada orang ramai yang cuba membantu saya dalam mencari kereta tersebut," ujarnya kepada mStar Online pada Selasa.

Dalam kejadioan 16 Mac lalu, kereta Mistubishi Triton warna hitam bernombor pendaftaran WSB 7332 milik Remy dilaporkan hilang ketika dia singgah untuk membeli makanan kira-kira pukul 12.30 pagi di Seri Kembangan dekat sini selepas pulang menjalani latihan teater di Istana Budaya.

Remy turut berasa ralat kerana barang-barang berharga miliknya seperti pakaian, kasut berjenama dan alat elektronik yang ditinggalkan dalam kereta itu juga lesap. 

Kereta Mistubishi Triton Remy Ishak masih belum ditemui (Gambar Hiasan).

Dalam pada itu Remy mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang prihatin dan menyalurkan maklumat mengenai kehilangan keretanya.

Sementara itu pembantu peribadi Remy iaitu Shawn Amer menerima banyak maklum balas dan mesej daripada orang ramai selepas dia menyiarkan nombor telefonnya bagi memudahkan orang ramai bekerjasama mengesan kereta berkenaan.

Shawn berkata, peminat yang menghantar mesej bukan sahaja dari dalam negara malah dari Indonesia dan Brunei yang menyampaikan kata-kata semangat selain mendoakan kereta tersebut ditemui.

"Terlalu banyak mesej yang saya terima daripada peminat-peminat Remy sejak nombor telefon saya didedahkan dalam berita kehilangan kereta tempoh hari.

"Ada yang menyangka saya Remy dan ada juga mereka yang berkirim salam termasuklah menyuruh saya sampaikan kata-kata semangat kepada Remy agar bersabar dengan kejadian itu," ujarnya kepada mStar Online.

Tambahnya, ada juga segelintir peminat yang memberi informasi mengenai kereta berkenaan untuk membantu pihak polis menjalankan siasatan.

"Saya juga menerima mesej daripada beberapa orang yang mendakwa nampak kereta itu di beberapa kawasan, namun semua maklumat sudah diberikan kepada pihak polis untuk siasatan," ujarnya.


Tags / Kata Kunci: Remy Ishak

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan