Kutipan Singkat RM2.5 Juta Bukan Kejayaan 'OlaBola'

Diterbitkan: Jumaat, 5 Februari 2016 6:00 AM

Filem OlaBola berjaya mengutip RM2.5 juta selepas hanya empat hari ditayangkan dipawagam.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengarah filem Chiu Keng Guan menjelaskan OlaBola mengutip RM2.5 juta selepas empat hari ditayangkan bukanlah ukuran kepada kejayaan naskhah terbaharunya itu.

Chiu berkata, melihat kepada respons penonton yang kebanyakan memberi maklum balas positif terhadap karya itu, ia adalah kejayaan terbesar kepadanya sebagai pengarah.

"Tujuan asal saya menghasilkan filem berkenaan adalah kerana ingin menyampaikan mesej positif kepada penonton dan setakat ini saya terharu dengan maklum balas diterima.

"Jualan tiket memang penting namun saya tidak mahu melihat perkara itu sebagai penentu kejayaan OlaBola kerana apa yang saya ingin sampaikan adalah menerusi jalan ceritanya agar dapat menyentuh hati penonton.

"Syukur hampir seminggu ia ditayangkan pelbagai komen positif yang saya terima dan rata-rata memberitahu OlaBola telah membuatkan mereka menangis," katanya kepada mStar Online.

Pengarah OlaBola, Chiu Keng Guan.

Chiu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kutipan filem berkenaan yang mencecah RM2.5 juta selepas empat hari ditayangkan.

OlaBola dibintangi oleh Bront Palarae, JC Chee, Muhd Luqman Hafidz, Saran Kumar, Eric Teng Shin Wang dan Lim Jian Wen.

Filem berkenaan mengambil inspirasi daripada kegemilangan pasukan bola sepak kebangsaan sewaktu berjaya memasuki Sukan Olimpik 1980 di Moscow.

Ia sedang ditayangkan di pawagam sejak 28 Januari lalu.

Dalam pada itu, Chiu berkata, dia sebenarnya terkejut apabila karyanya itu berjaya mendapat RM2.5 juta dalam masa singkat.

Kata Chiu, segala usaha keras bersama barisan pelakon dan produksi ternyata berbaloi dalam menghasilkan sebuah filem khas untuk semua rakyat Malaysia.

Barisan pelakon OlaBola.

"Saya memang tidak menyangka dan apabila diberitahu mengenai kutipan itu saya terkejut namun pada masa sama gembira.

"Ia adalah hadiah untuk semua kerja keras semua pasukan OlaBola selama ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, pelakon Luqman Hafidz yang memegang watak sebagai Ahmad Ali berkata, filem berkenaan berjaya mengubah hidupnya dan dia mula dikerumuni peminat.

Malah katanya, beberapa dialog dalam OlaBola turut menjadi ikutan peminat dan dia tidak menyangka ia akan menjadi ikutan.

"Ada peminat memberitahu mereka menggunakan dialog 'I cover you' dan 'kita menang sama-sama, kita kalah sama-sama' dalam perbualan seharian selepas menonton OlaBola.

"Ia satu perasaan yang menyenangkan kerana filem ini mula memberi kesan kepada penonton selain mula dikenali peminat," katanya.

Tags / Kata Kunci: OlaBola , Chiu Keng Guan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan