Joe Flizzow Terima 350 Lagu Seluruh Dunia

Diterbitkan: Selasa, 2 Februari 2016 5:00 AM

Joe Flizzow bakal muncul album baharu. Foto LOW BOON TAT

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Penyanyi rap Joe Flizzow menerima lebih 350 buah lagu daripada komposer luar negara baru-baru ini.

Joe atau nama sebenarnya Johan Ishak, 38, berkata, dia tidak menyangka, status yang dimuat naik di Twitter berhubung pencarian lagu baharu menarik perhatian komposer seluruh dunia.

"Saya terkejut apabila e-mel saya dipenuhi dengan lagu-lagu baru daripada komposer luar negara seperti Amerika Syarikat (AS), Jerman, Indonesia dan United Kingdom.

"Ternyata teknologi membuatkan dunia muzik menjadi kecil untuk dikongsikan tidak kira di mana kita berada," katanya kepada mStar Online.

Joe Flizzow

Tambah Joe, dia bagaimanapun hanya memilih dua buah lagu dari AS untuk dimuatkan dalam album baharunya yang akan dilancarkan pada tahun ini.

Dia juga sudah berhubung dengan komposer berkenaan untuk membincangkan dengan lebih terperinci mengenai projek itu.

"Pada mulanya, kami sekadar berbincang menerusi emel dan kemudian secara video pula. Sekarang ini kami sudah menjadi kawan pula dan masing-masing berkongsi pendapat mengenai muzik.

"Saya suka dengan cara seperti ini, ia dapat memberikan inspirasi untuk menghasilkan sesebuah lagu dengan lebih baik dan berkualiti," ujarnya.

Sementara itu, ditanya adakah album tersebut mampu menyaingi kejayaan album sebelumnya, Havoc, kata Joe dia yakin karyanya itu akan menjadi yang terbaik.

"Saya tahu, kejayaan Havoc membuatkan peminat mengharapkan karya yang lebih baik pada masa akan datang. Insya-Allah itu pasti," ujarnya.
Tags / Kata Kunci: Joe Flizzow

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan