AJL 30: Faizal Tahir Puas Sampaikan Mesej Positif Menerusi 'Assalamualaikum'

Diterbitkan: Selasa, 26 Januari 2016 12:23 PM

Faizal Tahir akan terus menghasilkan lagu-lagu yang mempunyai mesej positif kepada pendengar. Foto AZHAR ARIF

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Penyanyi Faizal Tahir berasa puas dapat menyampaikan mesej kemanusiaan menerusi persembahan lagu Assalamualaikum pada pertandingan Anugerah Juara Lagu ke-30 (AJL 30) pada Ahad lalu.

Faizal, 37, berkata, meskipun gagal bergelar juara namun baginya ia tidak penting kerana yakin persembahannya pada malam itu telah meninggalkan kesan kepada penonton.

"Menang atau kalah itu adat pertandingan dan saya sendiri tidak berasa kecewa apabila Assalamualaikum gagal bergelar juara.

"Malah saya berasa sangat puas kerana mesej yang ingin disampaikan menerusi persembahan itu sampai kepada penonton pada malam itu.

"Pada saya itu lebih penting dan ia sudah menjadi satu kemenangan untuk saya secara peribadi," katanya.

Gaya bersahaja Faizal ketika menyampaikan lagu Assalamualaikum.

Assalamualaikum yang dicipta sendiri oleh Faizal bersama Mike Chan, Omar K, Ezra Kong dan Audi Mok diumumkan sebagai naib juara AJL 30.

Kemenangan itu membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM35,000 berserta trofi.

Lagu Potret nyanyian Akim & The Majistret pula diumumkan sebagai juara AJL 30 manakala Hanya Namamu (Caliph Buskers) ditempat ketiga.

Dalam pada itu, Faizal berkata, sebagai komposer dan penyanyi, dia berhasrat untuk menghasilkan lebih banyak karya yang mempunyai mesej positif kepada pendengar pada masa hadapan.

Jelas Faizal lagi, ia adalah sebagai salah satu sumbangan kembali kepada masyarakat selain berharap karya-karyanya dapat meninggalkan kesan kepada mereka.

"Alhamdulillah, penerimaan sangat baik terhadap Assalamualaikum adalah permulaan baik bagi saya menghasilkan lebih banyak karya dengan mesej positif kepada masyarakat.

"Saya tidak hanya mahu tampil dengan karya kosong sebaliknya ia dapat meninggalkan kesan kepada pendengar," ujarnya.

Tags / Kata Kunci: Faizal Tahir , Assalamualaikum , AJL 30

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan