Syarikat Rakaman Kesal Syafeek Ikhwan Tuduh Tidak Bertanggungjawab

Diterbitkan: Sabtu, 23 Januari 2016 5:00 AM

Syafeek Ikhwan

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Syarikat rakaman CQ Music terkilan apabila penyanyi baharu Syafeek Ikhwan menyifatkan pihak mereka tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik apabila single Tanpa Arah Tidak mendapat sambutan.

Ketua Pegawai Operasi CQ Music, Amin Aznizan berkata, perkara itu membuatkan pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penyanyi itu kerana telah memalukan syarikatnya itu.

"Saya sifatkan kenyataan Syafeek sebagai tuduhan tidak berasas. Pihak CQ Music dengan Syafeek pada mulanya berniat bekerjasama dan pada masa sama kita lihat keserasian masing-masing.

"Seterusnya Syafeeq menandatangani kontrak dengan kami sebagai pengedar sahaja untuk single tersebut. Selepas keluar daripada syarikatnya pada pertengahan Disember tahun lalu, pihak kami masih lagi membuat pengedaran lagu tersebut seperti biasa.

"Kenyataan Syafeeq telah menjatuhkan nama baik CQ Music dan kami akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya," katanya kepada mStar Online.

Syafeek baru-baru ini membuat kenyataan kepada sebuah portal berkata single lagu baharunya itu tidak mendapat sambutan kerana jarang didengar di stesen-stesen radio tempatan.

Malah jarak jauh CQ Music yang beroperasi di Kuching, Sarawak juga menyukarkan dia menjalani promosi lagu itu.Perkara itu membuatkan Syafeek membuat keputusan untuk keluar dari syarikat tersebut.

Sementara itu, Amin berkata, sebagai penyanyi baharu, Syafeek perlu bersabar dalam mengejar cita-cita sebagai penyanyi yang dikenali kerana bukan mudah mendapat tempat di dalam industri muzik tempatan.

"Penyanyi baru perlu sabar. Maksudnya janganlah harini hantar lagu, esok terus nak dengar lagu dimainkan di radio, bukan senang untuk dikenali dan disenangi.

"Citarasa pendengar dan radio berbeza dan kita tak boleh nak paksa untuk orang suka. Yang penting dalam industri ni, kena berusaha yang terbaik dan tidak berputus asa.

"Matlamat CQ Music adalah mahu membentuk artis menjadi seorang penyanyig evergreen dan untuk sampai ke tahap itu, bukan calang-calang orang yang mampu dari segi mental dan emosi. Walaupun CQ Music di Kuching, kami tetap mempunyai pejabat beroperasi di sini (Kuala Lumpur) ," tegasnya. 

Tags / Kata Kunci: Syafeek Ikhwan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan